Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

27 Mac 2010

TRINITY


Sebahagian besar penganut Kristian mempercayai kepada konsep tri-tungal (Trinity) yang terdiri daripada Tuhan Bapa yang merupakan pencipta sekalian alam yang ada di syurga. Yang kedua, Tuhan Anak iaitu Jesus Kristus yang merupakan Tuhan atau "firman yang hidup" bersama-sama manusia yang datang ke dunia sebagai "juru selamat" yang mengorbankan dirinya di atas kayu salib untuk melepaskan manusia daripada dosanya. Dan, yang ketiga, Ruhulkudus iaitu "roh Allah" yang boleh merasuk ke dalam peribadi orang-orang suci.

Ini adalah mukadimah pegangan orang Kristian terhadap agamanya. Ini konsep asas yang mereka pegang sehingga ke hari ini. Buku tulisan Ustaz Haji Mohd Farhan Abdullah Al-Hafiz yang juga bekas Paderi Kristian di Negeri di Bawah Bayu ini begitu informatif dalam soal perbandingan agama terutamanya di antara dua agama besar dunia pada hari ini (Islam-Kristian).

Sebagai agama yang berasal daripada Judaisma, kristianiti mempercayai keEsaan Tuhan, tetapi ia tidak berhenti setakat itu sahaja, malah ia mengandaikan keEsaan Tuhan itu dengan adanya Tuhan Anak dan Ruhulkudus di samping "Bapa yang disyurga".

Konsep Tiga Tuhan Serangkai (Trinity) iaitu Tuhan Bapa, Tuhan Anak, dan Roh Kudus bukanlah ajaran Jesus, ia adalah konsep yang sengaja dimasukkan bagi merosakkan keaslian ajaran Jesus dengan menisbahkannya kepada Jesus.

Dalam sejarah agama Kristian ada istilah yang disebut sebagai biechtan (orang yang meminta ampun atas kesalahannya) dan istilah bievht-vader (orang yang diberi kuasa memberi ampun). Setiap orang yang merasa kesal dengan kesalahannya dapat menerima keampunan dengan jalan membeli surat yang menyebutkan orang yang berdosa itu sudah diberi ampun atas dosa-dosanya.

Konsep ini amatlah berbeza dengan amalan di dalam Islam. Islam mengajar kita bahawa, barang siapa yang telah melakukan dosa, perlulah mereka bertaubat dan berdoa meminta keampunan kepada Allah. Tidak perlu orang ketiga atau orang tengah. Tidak juga perlu kita mendedahkan aib kita pada orang lain. Doalah apa sahaja pada Allah.

Dalam agama Kristian , Surat Pengampunan itu disebut sebagai aflaat-brieven atau Indulgences yang bermaksud "Kemurahan Tuhan". Manakala tuhan-tuhan berhala seperti al-Manat, al-Lata, dan al-Uzza pula dijadikan pujaan dan kemudiannya diterapkan ke dalam konsep ketuhanan orang Kristian.

Ini adalah hakikat sebenar konsep ketuhanan yang dipegang oleh penganut-penganut Kristian. Nabi Isa tidak pernah meminta umatnya untuk menyembahnya. Nabi Isa tidak pernah meminta umatnya menyekutukan Allah. Malah, dalam Injil telah disembunyikan fakta yang mengatakan bahawa akan lahir nabi akhir zaman yang merujuk kepada Nabi Muhammad s.a.w. Namun, mereka sembunyikan dan mereka selewengkan makna dalam Injil itu sendiri.

"Dan aku akan meminta kepada Bapa, maka dia akan mengurniakan kepda kamu penolong yang lain, supaya ia menyertai kamu selama-lamanya." [Yahya 14:16]

"Tetapi aku ini mengatakan yang benar kepadamu, bahawa berfaedahlah kepadamu jikalau aku ini pergi, kerana jikalau tiada aku pergi, tiadalah penolong itu akan datang kepadamu. Tetapi jikalau aku pergi, aku akan menyuruh Dia kepadamu." [Yahya 16:7, dan seterusnya sampai Yahya 16:15]

Inilah hakikat apa yang berlaku. Kita perlu terima hakikat bahawa Yahudi dan Nasrani tetap tidak akan menerima kebenaran Islam.

"Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya." (Ali Imraan: 19)

Tugas saya sebagai seorang Muslim adalah untuk menyampaikan kebenaran. Bagi orang belum muslim yang enggan menerima fakta ini dan ingin terus kekal dalam agama yang kamu anuti hari ini, terpulanglah. Allah mengingatkan kita dengan maksud ayat berikut:

"Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku. " [Al-Kaafirun:6]

Semoga kita semua yang sudah Islam ini dikekalkan iman dalam Islam, dan sama-sama kita doakan agar saudara-saudara kita yang belum Islam akan dikurniakan hidayah Islam satu hari nanti.