"Tidakkah engkau mengetahui bahawa Allah menguasai
pemerintahan langit dan bumi? Dia menyeksakan sesiapa yang dikehendakiNya
(menurut aturan dan hukum SyariatNya), dan mengampunkan sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum SyariatNya). Dan (ingatlah) Allah Maha
Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."
[Maksud Ayat 40, Surah Al-Maidah]
Berhukum dengan hukum Sang Pencipta. Itulah sewajibnya. Kita hanya musafir yang tumpang berteduh di bumi Illahi. Sampai masa kita pasti berlalu pergi. Berlalu pergi itu, untuk selamanya.
"Dan apabila dikatakan kepada
mereka: Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah
dan kepada hukum Rasulullah, nescaya engkau melihat orang-orang munafik itu
berpaling serta menghalang (manusia) dengan bersungguh-sungguh daripada
menghampirimu."
[Maksud Ayat 61, Surah An-Nisa]
Sebagai seorang muslim, wajib kita imani segala yang terkandung dalam kitab Al-Quran yang suci. Orang Islam yang berpaling daripada seruan berhukum kepada hukum Allah, itulah yang Allah SW.T labelkan sebagai orang munafik. Hukum itu milik Allah. Bukan milik sesiapa. Bukan milik mana-mana golongan. Bukan milik mana-mana kumpulan. Seruan berhukum dan berhakim mengikut acuan Al-Quran dan As-Sunnah perlu disahut oleh sekian mukmin. Orang bukan Islam pasti tidak akan faham dan akan menentang habis-habisan kepada usaha menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai landasan untuk berhukum dan berhakim. Maka, tanggungjawab besar sekalian mukmin ialah menjadi duta untuk memberi kefahaman kepada mereka berkaitan perlembagaan Allah Taala.
"Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di
antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah
engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka
tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu.
Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu),
maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab
setengah dari dosa-dosa mereka dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia
itu adalah orang-orang yang fasik."
[Maksud Ayat 49, Surah Al-Maidah]
"Sesudah itu, patutkah mereka
berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Padahal kepada
orang-orang yang penuh keyakinan tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang
lebih baik dari Allah."
[Maksud Ayat 50, Surah Al-Maidah]
Tiada siapa pun manusia yang boleh menggubal sesuatu hukum yang lebih baik berbandaing hukum Sang Pencipta. Ini kerana, manusia dicipta oleh Allah. Mana mungkin makhluk yang diciptakan boleh lebih baik berbanding yang mencipta. Persoalan majmuk bukan alasan untuk hukum Allah dikesampingkan (nau'zubillahminzalik). Mengapa mereka terus berdegil dan tidak mahu beriman? Berikut jawapan yang Allah berikan:
"Sesungguhnya sejahat-jahat
(makhluk) yang melata di sisi (hukum dan ketetapan) Allah ialah
orang-orang yang kafir (yang degil dengan kekufurannya). Sebab itu mereka tidak
(mahu) beriman."
[Maksud Ayat 55, Surah Al-Anfal]
#Catatan Iban Muslim