Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

18 April 2014

HUKUM ALLAH

"Tidakkah engkau mengetahui bahawa Allah menguasai pemerintahan langit dan bumi? Dia menyeksakan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum SyariatNya), dan mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum SyariatNya). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." 

[Maksud Ayat 40, Surah Al-Maidah]

Berhukum dengan hukum Sang Pencipta. Itulah sewajibnya. Kita hanya musafir yang tumpang berteduh di bumi Illahi. Sampai masa kita pasti berlalu pergi. Berlalu pergi itu, untuk selamanya.


"Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah, nescaya engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu." 

[Maksud Ayat 61, Surah An-Nisa]

Sebagai seorang muslim, wajib kita imani segala yang terkandung dalam kitab Al-Quran yang suci. Orang Islam yang berpaling daripada seruan berhukum kepada hukum Allah, itulah yang Allah SW.T labelkan sebagai orang munafik. Hukum itu milik Allah. Bukan milik sesiapa. Bukan milik mana-mana golongan. Bukan milik mana-mana kumpulan. Seruan berhukum dan berhakim mengikut acuan Al-Quran dan As-Sunnah perlu disahut oleh sekian mukmin. Orang bukan Islam pasti tidak akan faham dan akan menentang habis-habisan kepada usaha menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai landasan untuk berhukum dan berhakim. Maka, tanggungjawab besar sekalian mukmin ialah menjadi duta untuk memberi kefahaman kepada mereka berkaitan perlembagaan Allah Taala.

"Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik." 

[Maksud Ayat 49, Surah Al-Maidah]

"Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik dari Allah."
[Maksud Ayat 50, Surah Al-Maidah]

Tiada siapa pun manusia yang boleh menggubal sesuatu hukum yang lebih baik berbandaing hukum Sang Pencipta. Ini kerana, manusia dicipta oleh Allah. Mana mungkin makhluk yang diciptakan boleh lebih baik berbanding yang mencipta. Persoalan majmuk bukan alasan untuk hukum Allah dikesampingkan (nau'zubillahminzalik). Mengapa mereka terus berdegil dan tidak mahu beriman? Berikut jawapan yang Allah berikan:

"Sesungguhnya sejahat-jahat (makhluk) yang melata di sisi (hukum dan ketetapan) Allah ialah orang-orang yang kafir (yang degil dengan kekufurannya). Sebab itu mereka tidak (mahu) beriman."

[Maksud Ayat 55, Surah Al-Anfal]

#Catatan Iban Muslim

17 April 2014

SERAH SEGALA AMANAH KEPADA AHLINYA

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat."

[Maksud Ayat 58, Surah An-Nisa]


Amanah adalah suatu yang amat berat untuk dipikul. Setiap amanah yang dipikul kita di dunia ini, pasti akan dipersoalkan di akhirat kelak. Istilah yang sering digunapakai pada hari ini ialah AUDIT. Di akhirat kelak, tidak akan terlepas satu pun setiap sesuatu yang kita lakukan di alam dunia ini daripada neraca timbangan Allah S.W.T. Amanah yang diserah kepada bukan ahlinya, pasti akan menerbitkan kecelaruan yang akan menyebabkan sistem menjadi tidak lancar dan akhirnya breakdown

Kesedaran diri menjadi keutamaan. Merasakan diri kita bukan ahli kepada sesuatu amanah, maka wajarlah kita mengundur diri. Usah kita berkeras untuk terus berada di tampuk amanah tersebut. Usah kita berdegil untuk terus memegang sesuatu jawatan tersebut. Usah kita terus menyusahkan sistem di mana amanah tersebut diletakkan. Adil bagi diri. Adil bagi ahli dalam sistem. Adil bagi ahli yang sebenarnya berhak kepada amanah tersebut. InsyaAllah lancar di dunia. Dan, moga-moga lancar tapisan di akhirat kelak. Wallahu'alam. 

AKU PENDOSA...

"Dan tinggalkanlah kamu dosa yang nyata dan yang tersembunyi. Kerana sesungguhnya orang-orang yang berusaha melakukan dosa, mereka akan dibalas dengan apa yang mereka telah lakukan." 

[Al-Anaam: Ayat 120]


Berwaspadalah wahai diri...tatkala berpijak seinci demi seinci di atas bumi Ilahi ini. Diri ini manusia kerdil. Tiada apa-apa. Lemah. Daripada tiada kepada ada. Akhirnya destinasi PASTI adalah keMATIan. Matinya manusia, tertutuplah ruang dan peluang untuk mengaut saham akhirat yang amat diperlukan untuk setiap daripada kita di sana nanti, di saat manusia berebut-rebut untuk memiliki sijil premium untuk menikmati kenikmatan dunia. Sebelum nyawa menerjah ke halkum, sama-sama kita berusaha untuk memurnikan diri menjadi insan yang cemerlang pada pandangan Sang Pencipta. Perhatian Ilahi adalah priority...Perhatian hamba Ilahi, cuma seketika. 

DOSA...sama ada yang nyata mahu pun yang tersembunyi, ALLAH Maha Mengetahui. Walau sebesar atom sekalipun bintik-bintik dosa itu tidak akan terlepas daripada bancian Ilahi. Ampuni dosa-dosaku ya Allah...pada waktu jahilku, pada waktu aku lalai, pada waktu aku terbuai dengan tipu daya dunia, dan apa jua keadaan aku terleka dengan usaha syaitan yang sentiasa membisikkan jarum-jarum suntikan dosa. Aku tidak terlepas daripada menjadi pendosa ya Rabb. Kepada-Mu lah aku berserah diri...

#Iban Muslim

14 April 2014

HIDAYAH ALLAH BUKAN MURAH

Secara fitrahnya, manusia ini semuanya adalah Islam. Berbahagialah kita kerana tergolong dalam golongan yang diberi hidayah oleh-Nya. Pernah tergambar di fikirankah, bagaimanakah keadaan kita hari ini seandainya kita lahir bukan dari rahim ibu yang non-muslim? Adakah kita akan berusaha untuk mencari hidayah itu? Atau, kita akan selesa dengan keadaan tidak beriman? Nau'zubillahminzalik...

Firman Allah (yang bermaksud),
"Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab Neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya)."
 [Surah Al-Baqarah: Ayat 213]

Perselisihan golongan batil dan golongan yang benar pada satu ketika dahulu menyebabkan manusia hari ini terbahagi kepada dua golongan iaitu golongan muslim dan bukan muslim. Hikmah yang amat besar dengan turunnya Al-Quran ke muka dunia ini sebagai panduan hidup kepada kehidupan manusia. Namun, bagi golongan yang ingkar, berikut jawapan mereka:

"Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah menurut kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (Al-Quran) dan kepada RasulNya (yang menyampaikannya), mereka menjawab: Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya. Adakah (mereka akan menurut juga) sekalipun datuk nenek mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat hidayat petunjuk?"
[Surah Al-Maidah: Ayat 104]

Laa Tahzan...janji Allah adalah benar. Yang berdusta adalah hamba. Cukuplah Allah sebagai pelindung.Yang pasti, hidayah petunjuk itu milik Sang Pencipta yang Maha Agung. Maka beruntunglah bagi barangsiapa yang terpilih sebagai seorang Muslim. Pasti dan pasti tanpa ragu...pilihan kita adalah benar...beriman kepada kitab Allah adalah rukun yang wajib kita imani. Tugas kita? BERTAKWA!
 
"Bukankah Allah cukup untuk mengawal dan melindungi hambaNya (yang bertakwa)? Dan mereka menakutkanmu (wahai Muhammad) dengan yang mereka sembah yang lain dari Allah dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapapun yang dapat memberi hidayat petunjuk kepadanya."
[Surah Az-Zumar: Ayat 36]

"Dan sesiapa yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah (dengan sebab pilihannya yang benar), maka tidak ada sesiapapun yang dapat menyesatkannya. Bukankah Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah)?"
[Surah Az-Zumar: Ayat 36]

Khusus kepada rakan-rakan yang berhijrah dari jahiliah kepada Islam sepertiku, Saidina Abdullah r.a merakamkan janji Nabi s.a.w dengan sabda (yang bermaksud):
"Orang banyak bertanya kepada Rasulullah s.a.w, ‘Ya Rasulullah! Apakah kami akan disiksa kerana perbuatan kami pada masa jahiliyah?’ Jawab Nabi s.a.w, “Siapa yang baik Islamnya, dia tidak akan disiksa kerana amalnya masa jahiliyah. Akan tetapi siapa yang buruk Islamnya (munafik), maka dia akan disiksa kerana amalnya pada masa jahiliyah dan masa Islam."
InsyaAllah...kita pakat-pakat jadi baik. Belum terlambat. Jangan tunggu sehingga nyawa sampai ke halkum...kerana MATI itu PASTI!

BENGKEL PENULISAN BERSAMA SAUDARA FAUZUL NA'IM ISHAK

Alhamdulillah...Syukur ke hadrat Illahi. Hari ini diberi kesempatan untuk menghadiri Bengkel Penulisan yang dikendalikan oleh Saudara Fauzul Na'im Ishak, Pengarah/Penulis PTS Millenia Sdn.Bhd. 

Banyak motivasi yang diberikan agar usaha ke arah menghasilkan nashkah penulisan menjadi satu realiti. Terbayang di fikiran bahawa apa salahnya sekiranya catatan-catatan Sang Faqir Iban Muslim di ruangan blog ringkas ini diterjemahkan ke dalam bentuk buku bercetak atau digital satu hari nanti. InsyaAllah...PASSION!!!

Doakan semoga impian ini menjadi satu realiti. Semoga maksud ayat 1 hingga 4 dalam Surah Al-Alaq berikut menjadi penyuntik semangat untuk meneruskan usaha ini:


Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk); Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya."
Aku menulis bukan kerna nama...