Di antara tanda agama yang benar ialah ia mengajar penganutnya bahawa ketinggian dan keagungan adalah milik Allah. Seorang itu adalah penganut agama yang benar selagi dalam dirinya tiada zat yang paling tinggi dan paling agung melainkan Allah sahaja. Hanya Allah sahaja yang layak dipuja dan disembah. Agama yang benar tidak mengajar manusia untuk menggagung dan memuja manusia termasuk nabi-nabi dan Rasul. Kerana itu Nabi Muhammad s.a.w. berpesan; “Janganlah kamu melampau-lampau menyanjungku sebagaimana orang-orang Nasrani (Kristian) menyanjung Nabi Isa. Aku hanyalah hamba Allah, maka panggillah aku; ‘(Muhammad itu) adalah hamba Allah dan RasulNya’” (Riwayat Imam al-Bukhari dari ‘Umar r.a.).
Di dalam al-Quran, Allah memberitahu kita bahawa sekelian Nabi dan Rasul datang membawa mesej yang serupa iaitu mengajar manusia tentang Allah dan menyeru mereka agar tidak menyembah melainkan kepada Allah. Firman Allah; “Tidak Kami utuskan sebelum engkau (wahai Muhammad) seorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya; ‘Bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan Aku (Allah). , maka oleh itu hendaklah kamu sekelian menyembahKu” (al-Anbiya’, ayat 25).
Kalimah “Allah” adalah kalimah yang paling banyak disebut dan diulang di al-Quran (hampir 2000 kali). Selaklah helaian al-Quran, nescaya anda akan menemui kalimah Allah yang banyak pada setiap helaiannya. Itu belum lagi dikira kalimah ar-Rabb, al-Ilah dan nama-nama Allah (Asma Allah) yang juga merujuk kepada Allah.Apabila kita berguru dengan seseorang dan di dalam pengajarannya ia mengajar tentang Allah, tentang Syariat Allah, hukum-hakam Allah, bagaimana untuk taat kepada Allah dan RasulNya, sehingga sepanjang kita bersamanya kita merasakan diri kita semakin hampir dengan Allah, dapat merasai keagungan Allah dan takut kepadaNya, ketahuilah bahawa guru itu benar-benar mengajar kita agama yang benar dan ia berada di atas landasan siratul-mustaqiem.
Namun jika kita berada di hadapan guru yang tidak menyebut melainkan keagungan seseorang (dirinya atau gurunya), memuja orang itu, mendakwa orang itu boleh melakukan itu dan ini, memiliki kehebatan itu dan ini, ada karomah itu dan ini, ia tidak mengajar muridnya untuk mengagung dan memuja Allah, sebaliknya ia mengajar mereka mengagung dan memuja manusia, ketahuilah bahawa guru itu tidak mengajar agama yang benar dan ia telah menyimpang dari siratul-mustaqiem. Hendaklah kita menjauhi guru sebegitu dengan sejauh-jauhnya.
Pegangan agama yang benar pemusatannya ialah pada Allah; mengenali Allah, mengenali Syariat Allah, mengagungkan Allah dan berusaha mencari keredhaanNya (dengan mentaati SyariatNya). Apabila pemusatan ini dialih kepada manusia atau objek lain, maka pegangan itu akan berubah menjadi pegangan sesat walaupun ia asalnya dari agama yang benar. Pengikut-pengikut Nabi Isa .a.s. mula menjadi sesat apabila mereka mengalihkan pemujaan dari Allah kepada Nabi Isa. Kita meyakini bahawa Nabi Isa tidak pernah mengajar penganutnya supaya meletakkan beliau sebagai anak Tuhan. Akan tetapi penganutnya yang berubah menjadi sesat selepas ketiadaannya apabila mereka berlebih-lebihan menyanjung dan memuja beliau sehingga mengangkatnya menjadi anak Tuhan.
Salah satu perbezaan ketara antara Islam dan agama-agama dunia yang lain ialah nama Islam tidak ada kaitan dengan mana-mana individu atau mana-mana bangsa atau tempat di dunia. Kalimah al-Islam bermaksud patuh dan menyerah. Yang memberi nama itu ialah Allah dan nama itu menggambarkan hakikat agama yang direstui Allah iaitu agama yang mengajar manusia agar tunduk dan patuh kepada Allah.
Adapun agama-agama lain, nama mereka diberikan bersempena dengan pengasasnya atau bangsa penganut asalnya atau daerah munculnya agama itu. Agama Kristian diambil namanya bersempena dengan Nabi Isa yang bergelar Christ oleh orang-orang Kristian (*Sudah tentu yang memberi nama itu bukan Allah, akan tetapi diberikan oleh penganut-penganut Kristian sendiri –selepas kematian Isa a.s. kerana mustahil agama Allah diberikan bersempena nama manusia), agama Budha diberi namanya bersempena pengasasnya iaitu Ghautama Budha, agama Hindu bersempena dataran Hindus, agama Yahudi bersempena bangsa Yahudi. Jelaslah bahawa agama-agama itu telah berubah menjadi agama bumi walaupun sebahagiannya asalnya adalah agama langit. Hanya Islam sahaja yang kekal sebagai agama langit (yakni agama yang turun dari Allah) sejak dari mula diturunkan hinggalah ke hari ini rentetan dari kekalnya ia di atas misi asal agama yang benar dari Allah iaitu untuk mengajar manusia tentang Allah.
Di dalam masyarakat kita hari ini banyak timbul ajaran sesat. Di asaskan oleh individu-individu yang mengaku menjadi wali, Imam Mahdi atau wakilnya, menguasai kerajaan langit (Ayah Pin), menjadi wakil Tuhan, malah ada yang mengaku sebagai Rasul Melayu. Yang menghairankan; setiap kali muncul ajaran sesat, pasti ada orang Melayu yang terpengaruh dan menjadi pengikutnya. Jika kita perhatikan, ajaran-ajaran sesat ini mempunyai satu persamaan iaitu semuanya terbina di atas pengagungan kepada individu tertentu. Sememangnya orang Melayu mudah terpengaruh dengan orang yang pandai bersembang terutamanya bercakap hal-hal mistik dan luar biasa (walaupun sebenarnya kosong dan dusta semata-mata). Namun itu bukan punca sebenarnya mereka mudah disesatkan. Punca sebenarnya ialah kerana tidak memahami tabiat agama yang benar. Jika mereka memahami tabiat agama yang benar, Insya Allah tidak aka ada orang mampu menyesatkan mereka.
Wallahu a’lam.
***Tulisan Ustaz Ahmad Adnan Fadzil dalam http://www.ilmudanulamak.net/v1 (Catatan asal, klik di sini). Syukran...