Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

15 Julai 2011

Fadhilat Bulan Syaaban

Islam memberikan pelbagai peluang keemasan yang seharusnya diterokai dan diikuti oleh setiap penganutnya. Peluang yang diberikan oleh Islam ialah dengan memberikan pelbagai tawaran dan ganjaran yang akan diperolehi sekiranya mereka berusaha untuk mematuhi ajarannya. Inilah yang mencorakkan keindahan ajaran Islam. Semua ini bertindak sebagai pencetus daya motivasi mereka untuk terus berusaha dan bekerja di samping mengejar segala kebaikan dan menjauhi segala kejahatan. Kelebihan yang baik itu seterusnya diberikan hanya kepada mereka yang berusaha mencari kebaikan dan menghapuskan kejahatan.

Salah satu peluang yang mesti direbut itu adalah mengejar kebaikan yang hanya diberikan oleh Allah dalam bulan-bulan tertentu dan tidak pada bulan-bulan yang lain. Jika ada, ganjaran di bulan tersebut tentunya lebih baik lagi jika dibandingkan dengan kebaikan yang ada pada bulan-bulan yang lain. Sesungguhnya, setiap ganjaran akan diberikan oleh Allah kepada para hambaNya dalam bulan-bulan tertentu. Ini bertujuan untuk meningkatkan kesungguhan mereka berusaha dan beramal, malah ini untuk kebaikan mereka juga. Inilah peluang keemasan yang semestinya mereka kejar dengan melakukan pelbagai perbuatan baik dan mulia. Sudah tentu, mereka pula janganlah semata-mata ingin memperolehi ganjaran itu, tetapi yang lebih utama adalah mendapatkan keredhaan Allah, dan inilah yang lebih penting. Kerana ganjaran baik itu akan mereka perolehi jika Allah meredhai amalan mereka.

Kelebihan yang Allah berikan dalam bulan Syaaban amat bermakna bagi para hamba yang ikhlas. Banyak hadis Rasul S.A.W yang diriwayatkan menceritakan kelebihan bulan ini. Antaranya ialah sabda Rasul S.A.W bermaksud: Bulan Rejab adalah bulan Allah, bulan Syaaban adalah bulanku, dan bulan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah bulan untuk menghapuskan dosa dan Ramadhan ialah bulan menyucikan diri dari dosa. Nabi S.A.W. memberikan simbolik bahawa bulan Syaaban sebagai bulan baginda. Ini diertikan sebagai bulan di mana baginda banyak melakukan amal ibadah. Simbolik ini juga bererti umatnya sepatutnya melakukan banyak amal ibadah sebagaimana yang banyak dilakukan oleh baginda.

Antara amalan yang amat digalakkan dilakukan dalam bulan ini ialah puasa. Amalan ini bolehlah dianggap sebagai satu amalan yang agak sukar, kerana ia benar-benar menguji ketahanan mental, emosi dan fizikal seseorang. Bagaimanapun, inilah antara amalan yang banyak ganjarannya jika dilakukan dalam bulan ini. Ini bertepatan dengan sabda Rasul S.A.W bermaksud, Barangsiapa berpuasa sehari dalam bulan Syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi rakan taulan Nabi Allah Yusuf di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Ayub dan Nabi Daud. Jika dia berpuasa sebulan dalam bulan ini, dimudahkan Allah akan saat matinya, dan terlepas dari kegelapan alam kubur, bebas dari hura-hara munkar dan nankir, ditutup Allah akan aibnya, dan diwajibkan syurga ke atasnya.

Dalam sebuah hadis lain, baginda Rasul S.A.W. bersabda yang bermaksud, Sesungguhnya bagi sesiapa yang berpuasa selama tiga hari pada permulaan Syaaban, tiga hari di pertengahan dan tiga hari di akhir Syaaban, akan mendapat pahala 70 orang nabi, dan seperti orang beribadah 70 tahun dan sekiranya dia mati pada tahun itu, matinya seperti mati syahid. Itulah antara kelebihan berpuasa dalam bulan Syaaban. Di samping itu, berpuasa dalam bulan ini juga adalah sebagai persediaan untuk melakukan ibadah puasa selama sebulan dalam bulan Ramadhan.

Seterusnya bulan Syaaban ini juga merupakan bulan di mana setiap doa orang-orang beriman akan dimakbulkan Allah. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Umar, Rasul S.A.W bersabda bermaksud, Dalam solat lima waktu yang doanya tidak ditolak ialah semasa malam Jumaat, pada malam 10 Muharram, pada malam pertengahan bulan Syaaban dan pada dua malam raya, iaitu malam hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Di samping memohon doa, umat Islam juga digalakkan untuk bertaubat dan memohon keampunan di atas keterlanjuran mereka dalam bulan ini. Rasul S.A.W bersabda bermaksud, Apabila tiba malam nisfu Syaaban, telah datang malaikat Jibril lalu berkata, pada malam ini, pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka. Maka dirikanlah solat dan pohonlah doa, sesungguhnya pada malam itu telah dibuka 300 pintu rahmat. Maka Allah mengampuni orang-orang yang tidak menyekutuiNya kecuali ahli sihir dan dukun, orang yang bermusuhan, peminum arak, pezina, orang yang memakan riba, orang yang derhaka kepada ibubapanya, orang yang suka mengadu domba atau batu api, dan orang yang memutuskan persaudaraan. Sesungguhnya mereka itu tidak akan diampun sehinggalah mereka benar-benar bertaubat dan tidak akan mengulanginya.

Inilah antara beberapa kelebihan yang Allah kurniakan untuk para hambaNya dalam bulan Syaaban. Allah yang bersifat Maha Pemurah akan tetap memberi semua kelebihan ini bagi mereka yang benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam amalan mereka. Semua ganjaran ini juga adalah sebagai perangsang kepada mereka untuk melipatgandakan amalan dan usaha mereka. Mereka hendaklah merebut peluang keemasan ini untuk kejayaan mereka di dunia dan di akhirat selagi hayat di kandung badan. Ini juga bertepatan dengan maksud hadis Rasul S.A.W bermaksud, Rebutlah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara, masa muda sebelum datangnya masa tua, masa lapang sebelum datangnya masa sibuk, masa senang sebelum datangnya masa susah, masa sihat sebelum datangnya sakit dan masa hidup sebelum datangnya mati.


Tulisan: Sdr. Khairul Azhar Bin Idris (Artikel asal, klik),
Fellow

INSTITUTE OF ISLAMIC UNDERSTANDING MALAYSIA (IKIM)