Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

31 Julai 2011

MARHABAN YA RAMADHAN


"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa."
(Surah al-Baqarah: Ayat 183)

(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.
(Surah al-Baqarah: Ayat 184)

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur."
(Surah al-Baqarah: Ayat 185)


16 Julai 2011

ISTIWA 'AZAM

15 Syaaban 1432 bersamaan 16 Julai 2011, Jam 5.28 petang.

Sama-sama kita manfaatkan peluan ini untuk menyemak arah kiblat...

TANDA-TANDA AGAMA YANG BENAR

Di antara tanda agama yang benar ialah ia mengajar penganutnya bahawa ketinggian dan keagungan adalah milik Allah. Seorang itu adalah penganut agama yang benar selagi dalam dirinya tiada zat yang paling tinggi dan paling agung melainkan Allah sahaja. Hanya Allah sahaja yang layak dipuja dan disembah. Agama yang benar tidak mengajar manusia untuk menggagung dan memuja manusia termasuk nabi-nabi dan Rasul. Kerana itu Nabi Muhammad s.a.w. berpesan; “Janganlah kamu melampau-lampau menyanjungku sebagaimana orang-orang Nasrani (Kristian) menyanjung Nabi Isa. Aku hanyalah hamba Allah, maka panggillah aku; ‘(Muhammad itu) adalah hamba Allah dan RasulNya’” (Riwayat Imam al-Bukhari dari ‘Umar r.a.).

Di dalam al-Quran, Allah memberitahu kita bahawa sekelian Nabi dan Rasul datang membawa mesej yang serupa iaitu mengajar manusia tentang Allah dan menyeru mereka agar tidak menyembah melainkan kepada Allah. Firman Allah; “Tidak Kami utuskan sebelum engkau (wahai Muhammad) seorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya; ‘Bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan Aku (Allah). , maka oleh itu hendaklah kamu sekelian menyembahKu” (al-Anbiya’, ayat 25).

Kalimah “Allah” adalah kalimah yang paling banyak disebut dan diulang di al-Quran (hampir 2000 kali). Selaklah helaian al-Quran, nescaya anda akan menemui kalimah Allah yang banyak pada setiap helaiannya. Itu belum lagi dikira kalimah ar-Rabb, al-Ilah dan nama-nama Allah (Asma Allah) yang juga merujuk kepada Allah.

Apabila kita berguru dengan seseorang dan di dalam pengajarannya ia mengajar tentang Allah, tentang Syariat Allah, hukum-hakam Allah, bagaimana untuk taat kepada Allah dan RasulNya, sehingga sepanjang kita bersamanya kita merasakan diri kita semakin hampir dengan Allah, dapat merasai keagungan Allah dan takut kepadaNya, ketahuilah bahawa guru itu benar-benar mengajar kita agama yang benar dan ia berada di atas landasan siratul-mustaqiem.

Namun jika kita berada di hadapan guru yang tidak menyebut melainkan keagungan seseorang (dirinya atau gurunya), memuja orang itu, mendakwa orang itu boleh melakukan itu dan ini, memiliki kehebatan itu dan ini, ada karomah itu dan ini, ia tidak mengajar muridnya untuk mengagung dan memuja Allah, sebaliknya ia mengajar mereka mengagung dan memuja manusia, ketahuilah bahawa guru itu tidak mengajar agama yang benar dan ia telah menyimpang dari siratul-mustaqiem. Hendaklah kita menjauhi guru sebegitu dengan sejauh-jauhnya.

Pegangan agama yang benar pemusatannya ialah pada Allah; mengenali Allah, mengenali Syariat Allah, mengagungkan Allah dan berusaha mencari keredhaanNya (dengan mentaati SyariatNya). Apabila pemusatan ini dialih kepada manusia atau objek lain, maka pegangan itu akan berubah menjadi pegangan sesat walaupun ia asalnya dari agama yang benar. Pengikut-pengikut Nabi Isa .a.s. mula menjadi sesat apabila mereka mengalihkan pemujaan dari Allah kepada Nabi Isa. Kita meyakini bahawa Nabi Isa tidak pernah mengajar penganutnya supaya meletakkan beliau sebagai anak Tuhan. Akan tetapi penganutnya yang berubah menjadi sesat selepas ketiadaannya apabila mereka berlebih-lebihan menyanjung dan memuja beliau sehingga mengangkatnya menjadi anak Tuhan.

Salah satu perbezaan ketara antara Islam dan agama-agama dunia yang lain ialah nama Islam tidak ada kaitan dengan mana-mana individu atau mana-mana bangsa atau tempat di dunia. Kalimah al-Islam bermaksud patuh dan menyerah. Yang memberi nama itu ialah Allah dan nama itu menggambarkan hakikat agama yang direstui Allah iaitu agama yang mengajar manusia agar tunduk dan patuh kepada Allah.

Adapun agama-agama lain, nama mereka diberikan bersempena dengan pengasasnya atau bangsa penganut asalnya atau daerah munculnya agama itu. Agama Kristian diambil namanya bersempena dengan Nabi Isa yang bergelar Christ oleh orang-orang Kristian (*Sudah tentu yang memberi nama itu bukan Allah, akan tetapi diberikan oleh penganut-penganut Kristian sendiri –selepas kematian Isa a.s. kerana mustahil agama Allah diberikan bersempena nama manusia), agama Budha diberi namanya bersempena pengasasnya iaitu Ghautama Budha, agama Hindu bersempena dataran Hindus, agama Yahudi bersempena bangsa Yahudi. Jelaslah bahawa agama-agama itu telah berubah menjadi agama bumi walaupun sebahagiannya asalnya adalah agama langit. Hanya Islam sahaja yang kekal sebagai agama langit (yakni agama yang turun dari Allah) sejak dari mula diturunkan hinggalah ke hari ini rentetan dari kekalnya ia di atas misi asal agama yang benar dari Allah iaitu untuk mengajar manusia tentang Allah.

Di dalam masyarakat kita hari ini banyak timbul ajaran sesat. Di asaskan oleh individu-individu yang mengaku menjadi wali, Imam Mahdi atau wakilnya, menguasai kerajaan langit (Ayah Pin), menjadi wakil Tuhan, malah ada yang mengaku sebagai Rasul Melayu. Yang menghairankan; setiap kali muncul ajaran sesat, pasti ada orang Melayu yang terpengaruh dan menjadi pengikutnya. Jika kita perhatikan, ajaran-ajaran sesat ini mempunyai satu persamaan iaitu semuanya terbina di atas pengagungan kepada individu tertentu. Sememangnya orang Melayu mudah terpengaruh dengan orang yang pandai bersembang terutamanya bercakap hal-hal mistik dan luar biasa (walaupun sebenarnya kosong dan dusta semata-mata). Namun itu bukan punca sebenarnya mereka mudah disesatkan. Punca sebenarnya ialah kerana tidak memahami tabiat agama yang benar. Jika mereka memahami tabiat agama yang benar, Insya Allah tidak aka ada orang mampu menyesatkan mereka.

Wallahu a’lam.

***Tulisan Ustaz Ahmad Adnan Fadzil dalam http://www.ilmudanulamak.net/v1 (Catatan asal, klik di sini). Syukran...

15 Julai 2011

Malam Nisfu Syaaban


Malam nisfu Syaaban pada tahun ini jatuh pada hari Sabtu malam Ahad (16 Julai 2011). Dengan kesempatan umur yang diberikan oleh Allah kepada kita semua, sama-samalah kita mengambil manfaat untuk beramal. InsyaAllah...

Sekadar peringatan buat diriku yang lalai...

Fadhilat Bulan Syaaban

Islam memberikan pelbagai peluang keemasan yang seharusnya diterokai dan diikuti oleh setiap penganutnya. Peluang yang diberikan oleh Islam ialah dengan memberikan pelbagai tawaran dan ganjaran yang akan diperolehi sekiranya mereka berusaha untuk mematuhi ajarannya. Inilah yang mencorakkan keindahan ajaran Islam. Semua ini bertindak sebagai pencetus daya motivasi mereka untuk terus berusaha dan bekerja di samping mengejar segala kebaikan dan menjauhi segala kejahatan. Kelebihan yang baik itu seterusnya diberikan hanya kepada mereka yang berusaha mencari kebaikan dan menghapuskan kejahatan.

Salah satu peluang yang mesti direbut itu adalah mengejar kebaikan yang hanya diberikan oleh Allah dalam bulan-bulan tertentu dan tidak pada bulan-bulan yang lain. Jika ada, ganjaran di bulan tersebut tentunya lebih baik lagi jika dibandingkan dengan kebaikan yang ada pada bulan-bulan yang lain. Sesungguhnya, setiap ganjaran akan diberikan oleh Allah kepada para hambaNya dalam bulan-bulan tertentu. Ini bertujuan untuk meningkatkan kesungguhan mereka berusaha dan beramal, malah ini untuk kebaikan mereka juga. Inilah peluang keemasan yang semestinya mereka kejar dengan melakukan pelbagai perbuatan baik dan mulia. Sudah tentu, mereka pula janganlah semata-mata ingin memperolehi ganjaran itu, tetapi yang lebih utama adalah mendapatkan keredhaan Allah, dan inilah yang lebih penting. Kerana ganjaran baik itu akan mereka perolehi jika Allah meredhai amalan mereka.

Kelebihan yang Allah berikan dalam bulan Syaaban amat bermakna bagi para hamba yang ikhlas. Banyak hadis Rasul S.A.W yang diriwayatkan menceritakan kelebihan bulan ini. Antaranya ialah sabda Rasul S.A.W bermaksud: Bulan Rejab adalah bulan Allah, bulan Syaaban adalah bulanku, dan bulan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah bulan untuk menghapuskan dosa dan Ramadhan ialah bulan menyucikan diri dari dosa. Nabi S.A.W. memberikan simbolik bahawa bulan Syaaban sebagai bulan baginda. Ini diertikan sebagai bulan di mana baginda banyak melakukan amal ibadah. Simbolik ini juga bererti umatnya sepatutnya melakukan banyak amal ibadah sebagaimana yang banyak dilakukan oleh baginda.

Antara amalan yang amat digalakkan dilakukan dalam bulan ini ialah puasa. Amalan ini bolehlah dianggap sebagai satu amalan yang agak sukar, kerana ia benar-benar menguji ketahanan mental, emosi dan fizikal seseorang. Bagaimanapun, inilah antara amalan yang banyak ganjarannya jika dilakukan dalam bulan ini. Ini bertepatan dengan sabda Rasul S.A.W bermaksud, Barangsiapa berpuasa sehari dalam bulan Syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi rakan taulan Nabi Allah Yusuf di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Ayub dan Nabi Daud. Jika dia berpuasa sebulan dalam bulan ini, dimudahkan Allah akan saat matinya, dan terlepas dari kegelapan alam kubur, bebas dari hura-hara munkar dan nankir, ditutup Allah akan aibnya, dan diwajibkan syurga ke atasnya.

Dalam sebuah hadis lain, baginda Rasul S.A.W. bersabda yang bermaksud, Sesungguhnya bagi sesiapa yang berpuasa selama tiga hari pada permulaan Syaaban, tiga hari di pertengahan dan tiga hari di akhir Syaaban, akan mendapat pahala 70 orang nabi, dan seperti orang beribadah 70 tahun dan sekiranya dia mati pada tahun itu, matinya seperti mati syahid. Itulah antara kelebihan berpuasa dalam bulan Syaaban. Di samping itu, berpuasa dalam bulan ini juga adalah sebagai persediaan untuk melakukan ibadah puasa selama sebulan dalam bulan Ramadhan.

Seterusnya bulan Syaaban ini juga merupakan bulan di mana setiap doa orang-orang beriman akan dimakbulkan Allah. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Umar, Rasul S.A.W bersabda bermaksud, Dalam solat lima waktu yang doanya tidak ditolak ialah semasa malam Jumaat, pada malam 10 Muharram, pada malam pertengahan bulan Syaaban dan pada dua malam raya, iaitu malam hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Di samping memohon doa, umat Islam juga digalakkan untuk bertaubat dan memohon keampunan di atas keterlanjuran mereka dalam bulan ini. Rasul S.A.W bersabda bermaksud, Apabila tiba malam nisfu Syaaban, telah datang malaikat Jibril lalu berkata, pada malam ini, pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka. Maka dirikanlah solat dan pohonlah doa, sesungguhnya pada malam itu telah dibuka 300 pintu rahmat. Maka Allah mengampuni orang-orang yang tidak menyekutuiNya kecuali ahli sihir dan dukun, orang yang bermusuhan, peminum arak, pezina, orang yang memakan riba, orang yang derhaka kepada ibubapanya, orang yang suka mengadu domba atau batu api, dan orang yang memutuskan persaudaraan. Sesungguhnya mereka itu tidak akan diampun sehinggalah mereka benar-benar bertaubat dan tidak akan mengulanginya.

Inilah antara beberapa kelebihan yang Allah kurniakan untuk para hambaNya dalam bulan Syaaban. Allah yang bersifat Maha Pemurah akan tetap memberi semua kelebihan ini bagi mereka yang benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam amalan mereka. Semua ganjaran ini juga adalah sebagai perangsang kepada mereka untuk melipatgandakan amalan dan usaha mereka. Mereka hendaklah merebut peluang keemasan ini untuk kejayaan mereka di dunia dan di akhirat selagi hayat di kandung badan. Ini juga bertepatan dengan maksud hadis Rasul S.A.W bermaksud, Rebutlah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara, masa muda sebelum datangnya masa tua, masa lapang sebelum datangnya masa sibuk, masa senang sebelum datangnya masa susah, masa sihat sebelum datangnya sakit dan masa hidup sebelum datangnya mati.


Tulisan: Sdr. Khairul Azhar Bin Idris (Artikel asal, klik),
Fellow

INSTITUTE OF ISLAMIC UNDERSTANDING MALAYSIA (IKIM)

Amalan-amalan Sunat Di Bulan Syaaban

Hadith :

Dari Aisyah r.a katanya:”Rasulullah SAW sering berpuasa sehingga kami mengira bahawa baginda akan berpuasa seterusnya. Dan baginda sering berbuka sehingga kami mengira beliau akan berbuka terus. Dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa terus sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban.”
(al-Bukhari)

Huraian
1. Syaaban ertinya berpecah atau bercerai-berai. Ia dinamakan demikian kerana orang-orang Arab pada bulan tersebut akan berhijrah ke mana-mana tempat untuk mencari air sehingga ke gua-gua dan sebagainya. Pendapat lain pula mengatakan, sebab diertikan demikian adalah sebagai tanda pemisah iaitu memisahkan di antara bulan Rejab dan Ramadhan.
2. Dari berbagai keterangan ini, yang dapat disimpulkan bagi pengertian bulan Syaaban itu ialah bulan Syaaban adalah masa untuk manusia berebut-rebut mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan untuk memasuki bulan Ramadhan
3. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam celaan dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.
4. Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah :
i. Memperbanyakkan puasa sunat. Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : "Sesiapa yang berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."
ii. Memperbanyak doa, zikir dan membaca selawat kepada Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW : "Sesiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)
iii. Bertaubat
iv. Meraikan malam 15 Syaaban atau lebih dikenali sebagai malam Nisfu Syaaban di mana sunat ia dihidupkan dengan membaca zikir dan Al Quran kerana malam tersebut adalah malam yang amat mustajab dan penuh rahmat.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

10 Julai 2011

BERSIH 2.0: Globe View




Full report (Click here)



Full report from BBC (here)


Full report from al-Jazeera (here)



Reuters said...(here)

1 Julai 2011

Zikir Yang Dibaca Pada Jumaat Terakhir Bulan Rejab (Hari Ini)

(Perhatian: Klik pada imej di atas untuk melihat paparan dengan lebih jelas...InsyaAllah)

Zikir/doa/istighfar ini digalakkan dibaca pada hari Jumaat terakhit pada bulan Rejab (hari ini) sebanyak 70 kali. Info/amalan yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Abdullah (kuliah subuh di Masjid Al-Muttaqqin, Jitra) dan juga Ustaz Ahmad Yahaya (kuliah dhuha di Masjid Kampung Pelubang, Jitra). InsyaAllah kita amalkan bersama...