Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

30 November 2015

JIN & MANUSIA PENGHUNI NERAKA JAHANNAM

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahannam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. 
[Surah Al-'Araf: 179] 

IM: Dunia ini ujian bagi seluruh manusia. Pelbagai godaan dan tarikan yang mendorong manusia melupai bahawa satu hari nanti kita pasti mati. Meninggalkan dunia yang fana. Meninggalkan seluruh isi dunia yang dikejar sepanjang usia yang dipinjamkan. Pastinya, tiada satu sen pun harta yang dimiliki di dunia boleh dibawa ke 'sana', melainkan pahala-pahala daripada harta yang diinfakkan pada jalan Allah, seperti sedekah jariah, zakat, wakaf, dan jalan-jalan amal kebajikan yang lain, ikhlas semata-mata kerana Allah. Bukan demi manusia. 

Ringkasnya, sama-samalah kita berusaha menjadikan:
  1. HATI yang sejahtera dengan memahami ayat-ayat Allah;
  2.  MATA yang mampu mengambil iktibar dari setiap inci kebesaran Allah; dan
  3. TELINGA yang berupaya menyerap ajaran serta nasihat agama.  
In sya Allah

BERSIFAT LEMAH LEMBUT

Hadith: 
 
Rasulullah s.a.w bersabda, bermaksud:
Sesungguhnya Allah itu bersifat lemah lembut dan ia menyukai sifat lemah lembut. Dan Allah memberikan sesuatu dengan cara lemah lembut yang tidak diberikan dengan cara kekerasan, dan juga tidak diberikan sesuatu melainkan dengan cara lemah lembut.
[H.R Muslim]
 
 
Huraian Hadith: 
  1. Sifat lemah lembut adalah sifat yang disukai oleh Allah sebaliknya sifat kekerasan adalah sifat yang dibenci oleh Allah.
  2. Kekerasan tidak akan dapat menyelesaikan masalah sama ada yang meliputi bidang alam rumahtangga perhubungan masyarakat dan sebagainya.
  3. Umat Islam dituntut supaya bersifat lemah lembut dan bertolak ansur didalam perkara-perkara yang tidak bertentangan dengan syariat Islam.
Huraian oleh JAKIM.
 
 
IM: Ya Allah, kurniakan kami sifat lemah lembut sebagaimana sifat yang Engkau sukai. Amin.