✐ Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang
memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa
malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat
yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.
✐ Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya "Kepunyaan
siapakah kerajaan hari ini?" Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia
sendiri menjawab dengan keagunganNya Kepunyaan Allah Yang Maha Esa
lagi Maha Perkasa." Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya
sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.
✐ Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup
sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di
atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata
tidak berbukit atau bulat seperti bumi.
✐ Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut "Ajbuz
Zanbi" yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia
umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.
✐ Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina.
Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut
dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi
kelak.
✐ Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang
menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar.
Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal),
berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi
yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan
lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.
✐ Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan
cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah
huru-hara yang amat dahsyat.
✐ Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu
turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk
terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.
✐ Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda.
Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala
mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya
naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur
dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan
peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam
mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan
sehingga 1000 tahun.
✐ Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar
yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja.
Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika
diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi
empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih
harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih
sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.
✐ Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:
ⅰ- Pemimpin yang adil.
ⅱ- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
ⅲ- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
ⅳ- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata "Aku takut pada Allah".
ⅵ- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
ⅶ- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.
✐ Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia
tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka
terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka mereka pun
pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa
dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s
menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka
kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim
a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti
Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa
antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.
✐ Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.
✐ Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga
menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu
terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 malaikat
yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil
bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga 'Arasy itu tiba dibumi.
✐ 'Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung
bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4
malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana
yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di
dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat
kuat.
✐ Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul
oleh 4 malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari 'Arasy
umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama
singgahsana yang terletak dihadapan istana.
✐ Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan
timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing
turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan
tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan
ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & 'Atid / Kiraman
Katibin.
✐ Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing.
Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim.
Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.
✐ Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan
amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang
pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.
✐ Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat
akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil
dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang
bukan mukmin.
✐ Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca
Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah
dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap
untuk menimbang dosa.
✐ Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.
✐ Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka
seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan
ditimbang.
✐ Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata-
kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan.
Semua akan di adili oleh Allah Ta'ala dengan Maha Bijaksana.
✐ Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai
untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara
sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi
titian sirat.
✐ Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :
ⅰ- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
ⅲ- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)
✐ Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh
Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini
berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000
orang yang lain.
✐ Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga
melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang
terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti
sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang.
Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.
✐ Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000
tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun.
Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang
binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya
disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh
ke dalamnya.
✐ Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap
makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang
sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam
neraka.
Rujukan:
Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al-
Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.
Kredit kpd. http://08071990.blogspot.com/