Dari Aisyah rha, katanya: “ Di zaman jahiliyyah, orang-orang Quraisy melakukan puasa pada hari ‘Asyura. Dan Rasulullah SAW pernah pula mempuasakannya. Tatkala baginda berhijrah ke Madinah, beliau mempuasakannya bahkan memerintahkan supaya umatnya mempuasakannya pula. Maka tatkala puasa Ramadhan diwajibkan, baginda bersabda, “ Siapa yang suka berpuasa di hari ‘Asyura silakan, dan siapa yang tidak suka, tidak mengapa. (1094: Hadis Sahih Muslim, Jilid 2).
Dari Ibnu ‘Abbas ra, katanya: “ ketika Rasululllah SAW belum lama tiba di Madinah, didapatinya orang-orang Yahudi puasa pada hari “Asyura. Lalu mereka ditanya perihal itu (apa sebabnya mereka berpuasa pada hari itu). Jawab mereka, “ Hari ini adalah hari kemenangan Musa dan Bani Israil atas Fira’un. Kerana itu kami puasa pada hari ini untuk menghormati Musa”. Maka bersabda Nabi SAW., “ kami lebih layak memuliakan Musa daripada kamu”. Lalu baginda perintahkan supaya kaum muslimin puasa pada hari ‘Asyura. (1098: Hadis Sahih Muslim, Jilid 2).
Dari ‘Abdullah bin ‘Abbas ra., dia menceritakan bahawa ketika Rasulullah SAW puasa pada hari ‘Asyura (10 Muharram) dan memerintahkan kaum Muslimin supaya berpuasa, para sahabat berkata, “ Hari ini adalah hari raya orang-orang Yahudi dan Nasrani”. Lalu Rasulullah SAW bersabda”: Apabila masih menyaksikan tahun yang akan datang, insyaAllah kita puasa pada tanggal 9 Muharram.” Kata “Abdullah selanjutnya, “ Ternyata tahun depan itu, baginda sudah wafat”. (1103: Hadis Sahih Muslim, Jilid 2.