Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

22 Februari 2011

Al-Quran Penyelamat Di Dunia dan Akhirat



Hadith :


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Bacalah al- Quran kerana ia akan datang pada Hari Akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.”

(Riwayat Muslim )


Huraian Pengajaran Hadis:
i) Al-Quran merupakan kalam Allah dan perlembagaan syariatnya yang kekal abadi. Allah telah menurunkannya kepada manusia sebagai panduan dalam mengharungi kehidupan agar dapat mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.
ii) Membaca al-Quran merupakan satu ibadah yang boleh menghampirkan diri seseorang itu kepada Allah S.W.T. Pahalanya amat besar iaitu sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, ganjarannya satu kebaikan dan sepuluh ganjaran yang sama dengannya. Selain itu ia juga boleh meberikan syafaat di hari akhirat kelak.
iii) Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim ada menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : "Perumpamaan Mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti limau yang mempunyai bau yang harum dan rasanya sedap. Manakala perumpamaan mukmin yang tidak membaca al-Quran pula adalah seperti tamar yang tidak ada bau tetapi rasanya manis dan sedap."
iv) Membaca al-Quran hendaklah dilakukan dengan beradab sebagai menghormati kalimah Allah di antaranya ialah seseorang itu hendaklah berada dalam keadaan suci (berwudhu’) dan membacanya di tempat yang bersih, memulakan dengan membaca Ta’auwuz dan Basmallah, membaca dengan teliti dan perlahan, menjaga makhraj (bertajwid) serta memperelokkan suara sekadar termampu.
v) Pembacaan al-Quran yang paling baik ialah apabila difahami apa yang dibaca. Dengan ini barulah seseorang itu akan dapat merasai nikmatnya yang sebenar.
Sumber: JAKIM

15 Februari 2011

Segalanya Lillahi Taala...



‎"Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam."
[Ayat 162, Surah Al-Anaam].

Hukum Sambut Maulidur Rasul


Upacara sambutan Maulidur Rasul adalah harus selagi ia tidak melibatkan unsur-unsur pembaziran dan tiada aktiviti yang melanggar syariat. Malah jika perisian sambutan itu ada unsur ilmu dan ibadah ia tetap diberi ganjaran pahala oleh Allah Subhanahu Wa Taala.
Adalah tidak tepat pendapat yang mengatakan bahawa sambutan Maulidur Rasul adalah bid'ah dhalalah dan bertentangan dengan syariat.
Upacara memperingati hari kelahiran Rasulullah saw ini telah dilakukan sejak 300 tahun sesudah Rasulullah wafat. Diantara pembesar yang menganjurkan sambutan ini ialah Malik Muzhaffar Abu Sa'id penguasa Irbil, Iraq. Dan seterusnya ia terus berkembang sehinggalah sekarang. Di antara ulamak besar yang mengatakan bahawa sambutan Maulidur Rasul ini adalah harus dan digalakkan ialah;
Said Ahmad Zaini Dahlan dalam kitabnya `Siratun Nabawiyah'. Antara lain beliau menyatakan bahawa; "masyarakat telah terbiasa berdiri tegak ketika mendengar riwayat kelahiran Rasulullah saw. Berdiri tegak menghormati kelahiran baginda adalah baik dan cara-cara seperti ini telah ditiru oleh cerdik cendikiawan lainnya."
Imam Jalaluddin As-Sayuti lebih jauh menerangkan dalam kitabnya `Al-Wasail Fi Syarhisy Syamail' , menyatakan; "Apabila diadakan peringatan Maulidur Rasul di sebuah rumah, masjid atau tempat lain maka malaikat mengawal dan mengawasi tempat tersebut sampai upacara selesai dan semua hadhirin mendapat rahmat dari Allah subhanahu wa taala."
Ust. Hj. Harun Muhammad Al-Kelantani (1953) dalam kitabnya Senjata Syariat, Pakaian Ahli Sunnah Wal Jamaah menyatakan bahawa "dapat pahala bagi orang yang berdiri yang adalah niat mereka membesarkan Nabi saw.
Dipetik dari: al-azim.com (Jabatan Mufti Melaka)

Maulidur Rasul S.A.W

Seperti kelaziman tahunan, umat Islam di Malaysia akan menyambut hari sempena keputeraan Rasulullah saw pada 12 Rabiulawal setiap tahun. Umat Islam di Malaysia akan mengadakan berbagai aktiviti dalam acara sambutan Maulidur Rasul. Kerajaan Malaysia mengisyhtiharkan 12 Rabiulawal setiap tahun adalah cuti umum. Di antara acara-acara dalam sambutan Maulidur Rasul ialah Perarakan, Syarahan, Forum, Marhaban dan Jamuan di peringkat kampung sehinggalah ke peringkat kebangsaan.
Dalam menentukan tarikh kelahiran Rasulullah saw, ahli-ahli sejarah Islam berbeza pendapat. Pendapat pertama dan masyhur ialah Rasulullah saw lahir pada malam Isnin 12 Rabiulawal dalam Tahun Gajah sebelum subuh. Ini adalah pendapat Ibnu Ishaq yang dipetik oleh Ibnu Hisham dalam kitabnya yang terkenal, Sirah Ibnu Hisham. Dan pendapat yang kedua ialah pendapat yang mengatakan bahawa Rasulullah saw memang lahir pada malam Isnin, sebelum subuh Rabiulawal tahun Gajah tapi tarikh sebenarnya ialah pada 9 haribulan.
Di antara tokoh-tokoh ulamak yang sependapat mengatakan Rasulullah saw lahir pada 9 Rabiulawal ialah Yunus bin Yazid, Ibnu Hazam, Muhammad bin Musa Al-Khawarizmi dan Ibnu Taimiyyah. Dan di antara tokoh-tokoh falak moden yang membuat kajian semula tentang perbezaan pendapat ini ialah Mahmud Pasya seorang ahli falak Mesir dan Dr.(H) Hj. Kassim Bahali, Persatuan Falak Syarie Malaysia. Mereka menyatakan bahawa Rasulullah saw lahir pada 9 Rabiulawal. Ini adalah berdasarkan kepada Taqwim Qamariah tulen tanpa Nasi' dan dikebelakangkan 53 tahun dari tahun pertama Hijrah.
Didapati bulan kelahiran Rasulullah saw iaitu bulan Rabiulawal jatuh pada bulan April 571 M. Berdasarkan hitungan, Ijtimak berlaku pada 10 April 571M pada 8;21 UT. Menurut kaedah kebolehnampakan hilal, 1 Rabiulawal jatuh pada hari Ahad, 12 April 571M dan hari Isnin yang bertepatan adalah 9 Rabiulawal manakala 12 Rabiulawal jatuh pada hari Rabu.
Dalil seterusnya yang mengatakan bahawa Rasulullah lahir pada 9 Rabiulawal ialah pada Isnin 9 Rabiulawal (20 April), fasa bulan adalah 64.4% dan bulan ghurub pada pukul 2:26 pagi. Apabila bulan ghurub awal maka langit ketika itu kelihatan cerah dengan bintang-bintang yang dapat dilihat lebih banyak kerana tiada gangguan cahaya bulan. Ini bertepatan dengan kisah kelahiran sewaktu dilahirkan Rasulullah saw bahawa sebelum subuh, langit adalah kelihatan sangat cerah dengan cahaya bintang-bintang yang bertaburan. Walau bagaimanapun, itu adalah pendapat individu tertentu dengan pengkajian mereka.
Moga ada pihak lain yang dapat membuat kajian lebih lanjut dalam menetapkan tarikh kelahiran Rasulullah saw. Kajian-kajian lanjut itu sebenarnya akan lebih memajukan lagi perkembangan ilmu Sejarah dan Falak. Malah tarikh-tarikh peristiwa penting Islam yang lain juga wajar dibuat hitungan semula. Kita umat Islam di alaf baru sekarang telah banyak melahirkan ahli-ahli Sejarah Moden, Falak / Astronomi dan ahli-ahli Sains yang lain yang pastinya akan mengembang dan menyumbang kepada penguasaan ilmu pengetahuan kepada pembangunan ummah, InsyaAllah.
Objektif diadakan sambutan Maulidur Rasul ialah untuk mengembalikan ingatan kita umat akhir zaman terhadap junjungan besar kita Muhammad Rasulullah saw. Dengan mengingatinya akan menambahkan lagi perasaan cinta kasih kepadanya serta mengenang, menghargai serta mengambil iktibar kisah suka duka perjuangannya. Walaupun sambutan Maulidur Rasul ini adalah satu adat sahaja tapi ia adalah adat yang bersifat ibadah dan wajar diteruskan, InsyaAllah.
Sumber: Jabatan Mufti Melaka

12 Februari 2011

Fatwa Hukum Umat Islam Menyambut Hari Kekasih (Valentine's Day)

[Sumber Asal: Portal Rasmi Fatwa Malaysia] klik di sini ; di sini

PENGENALAN
  • Tanggal 14 Februari setiap tahun seluruh penduduk khususnya di Amerika dan Eropah akan meraikan Hari Valentine iaitu satu hari rasmi untuk menyatakan rasa kasih sayang kepada pasangan masing-masing.
  • Ada yang saling bertukar-tukar bunga ros merah, mengirimkan kad ucapan dan hadiah, mengumandangkan lagu-lagu cinta dan asmara, membuat upacara tari-menari besar-besaran di disko-disko bersama minuman arak, mengadakan acara makan malam dengan disinari cahaya lilin, bertukar-tukar perasaan di taman-taman bunga sehingga berkucupan dan akhirnya sanggup menggadaikan kehormatan diri sendiri demi membuktikan kesetiaan kepada teman masing-masing. Sedangkan mereka tidak ada hubungan yang sah disisi agama yang mengharuskan mereka berbuat demikian.
  • Tidak dinafikan ada umat Islam di negara ini turut meraikan Hari Valentine. Mereka meraikan hanya kerana suka-suka dan terikut-ikut untuk mendapatkan keseronokan tanpa mengetahui asal-usul dan sejarah hari tersebut.
  • "Hari Kekasih" yang dibawa oleh orang barat tanpa disedari bertujuan untuk melekakan serta merosakkan aqidah dan akhlak masyarakat Islam, kerana kebiasaannya senario menyambut ”Hari Kekasih” berlaku dikalangan remaja Islam. Sungguhpun ia belum sampai ke tahap yang kronik, namun begitu ia boleh menyumbangkan kepada pelbagai kerosakan aqidah, akhlak dan budaya umat Islam sekiranya tidak ada sebarang tindakan dibuat untuk menyedar dan menginsafkan mereka.
  • Harus diingat mengamalkan dan mengikut budaya asing terutama dalam meraikan hari tertentu tanpa mengetahui latar belakang perayaan itu sebenarnya akan menjerumus umat Islam kepada kehancuran. Hal ini kerana perlakuan seperti ini bukan sahaja menjejaskan akhlak orang Islam, bahkan boleh menjejaskan keimanan dan aqidah mereka.
KEPUTUSAN FATWA
Sehubungan itu, kertas kerja berkaitan dengan hukum umat Islam menyambut Hari Kekasih ( Valentine’s Day ) telah dibentang dan dibahaskan dengan teliti oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada 25 Zulkaedah 1426 Hijriah bersamaan 27 hb Disember 2005 Miladiah. Setelah dilihat dengan penuh penelitian, maka Jawatankuasa Fatwa mengambil keputusan sebagaimana berikut :
Alhamdulillah fatwanya adalah seperti berikut :
” Amalan merayakan hari kekasih ( Valentine Day ) tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah dilarang oleh Islam yang jelas bercanggah dengan aqidah, syariah dan akhlak Islamiah. Oleh itu umat Islam adalah DILARANG daripada melibatkan diri di dalam meraikan hari tersebut. ”
والله أعلم بالصواب
NOTA : Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71, yang telah bersidang pada 20-22 Syawal 1426 Hijriah bersamaan 22-24 November 2005 Miladiah di Kuching Sarawak, juga telah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day, tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsure-unsur kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.
Keterangan/Hujah:

Antara hujah keputusan tersebut adalah seperti berikut :

  • Sejarah Valentine’s Day tidak ada di dalam Islam. Amalan budaya dan hasrat perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian yang bercanggah dengan Islam.


  • Di dalam Islam tidak ada hari tertentu bagi meraikan kekasih atau kasih sayang. Islam sangat menitikberatkan soal kasih sayang dan setiap hari di dalam Islam adalah hari kasih sayang.

  • Islam menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Valentine’s Day kerana unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya boleh menggugat aqidah Islam.


  • Sekiranya seseorang Islam itu berhasrat untuk memberi hadiah kepada seseorang pada 14 Februari bersempena dengan Valentine, perbuatan tersebut adalah tidak betul kerana ia seolah-olah meraikan konsep yang dibawa oleh Valentine’s Day.

  • Kebanyakan golongan remaja Islam hari ini meraikan Valentine’s Day dengan perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh Islam. Gejala seperti ini sekiranya tidak dibendung akan merosakkan generasi umat Islam akan datang.

  • Valentine’s asal nama sebenarnya St. Velentino merupakan seorang paderi palaing berpengaruh di zaman pemerintahan ratu Isabella di Sepanyol dan juga merupakan antara orang terpenting yang menghancurkan tamadun Islam di Sepanyol. Oleh itu ratu Isabella telah menetapkan 14 Februari sebagai hari menginati kemenangan kristian terhadap Islam. Maka barangsiapa yang merayakannya seolah-olah ia bergembira dan merestui ke atas kekalahan orang Islam di Sepanyol.

  • Memang Islam sangat menggalakkan umatnya supaya berkasih sayang antara satu sama lain, tetapi untuk meluahkan kasih sayang antara seorang lelaki dan seorang perempuan perlu melalui saluran yang dibenarkan oleh syara’. Ia bukannya yang menggalakkan kepada perkara yang mendorong atau meransang kepada yang dilarang dan maksiat.

  • Sebagai alternatifnya, jika seluruh dunia masih berterusan menjadikan 14 Februari sebagai hari ”percintaan rasmi” mereka dengan pasangan mereka, marilah kita umat Islam menjadikan setiap hari senagai bersatunya Ukuwah Mukminin sesama Mukminin dan Mukminat sesama Mukminat dengan memperkukuhkan ikatan ukhuwah, kasih sayang dan mencintai Allah dan RasulNya, demi menghadapi pakatan musuh Islam yang bertanggungjawab menjatuhkan kerajaan Islam Sepanyol, serta pada masa yang sama mendeklarasikan penentangan umat Islam kepada syirik dan penzinaan tajaan musuh-musuh Islam zaman berzaman.
والله أعلم بالصواب

Status Penwartaan:
Diwartakan

11 Februari 2011

Valentine's Day HARAM in ISLAM

Full story (click here)

Full story (click here)

More story (islam online.net, Kuwait objections, and more, and more...)

Catatan IM:
Sambutan Valentine Day sudah membarah di seluruh pelusuk dunia hingga ke saat ini. Begitu hebat rancangan musuh Islam untuk merosakkan akidah seluruh Muslim. Di pihak orang muslim sendiri, perkara ini dipandang enteng! Pelbagai persoalan yang menakutkan kita dipersoalkan oleh penyambut-penyambut setia (dari kalangan orang muslim) valentine day jika dilihat dari aspek akidah. Umpamanya; "...apa salahnya sambut untuk suka-suka.." "...kami nak raikan dan buktikan kasih sayang kami..." ; "...salahkah nak berkasih sayang?..." dan pelbagai argument yang akan dilontarkan oleh golongan degil ini.

Kita berada dalam negara yang menjadikan Islam sebagai agama RASMI yang termaktub dalam perlembagaan negara. Di manakah pemimpin Islam di saat tv-tv (media) sedang menayangkan iklan-iklan yang seolah-olah tidak sabar lagi untuk menyambut kedatangan hari perosak akidah tersebut. Persoalannya, adakah perkara ini tidak penting untuk umat Islam di Malaysia.Adakah pemimpin semua terlalu sibuk memikirkan keuntungan duniawi semata-mata hinggakan soal akidah diketepikan? Jika diperhatikan dipasaraya-pasaraya...iklan yang berkaitan hari valentine begitu rancak...akhbar pun tidak ketinggalan. Adakah atas dasar kemajmukan di bumi bertuah ini, perkara tersebut dibenarkan?

Apalagi yang kita nak cari selain Islam? Allah dengan tegas memberi amaran kepada kita dalam ayat ke-85Surah Ali Imraan;

"Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi."

Astaghfirullah...ampuniku ya Allah, sesungguhnya aku hidup di zaman yang penuh dengan cubaan.

Sama-samalah kita memperingati insan-insan di sekeliling kita sempena hari yang boleh mengganggu gugat akidah kita sebagai seorang Muslim agar tidak terjerumus dengan acara yang tidak menepati kriteria sebagai seorang Islam.