Tanggal 24 Julai 2002 bersamaan 13 Jamadilawal 1423H, di awal pagi Rabu itu, sehari setelah menerima segulung ijazah di Majlis Konvokesyen UTM di Skudai, satu lagi sejarah tertempa pada diri ini. Seawal pagi itu aku ajak dua orang sahabat (Muhammad Yusob bin Azizan dan Kamarulzaman bin Ahmad Bukhari) menyusuri Majlis Agama Islam Johor(MAIJ). Kami rentasi jalan-jalan sibuk dari Skudai hinggalah ke Johor Bahru hanya semata-mata mencari kebenaran yang abadi. Ingin disingkap kembali saat hati ini tergerak untuk tujuan itu, dua sahabat itu seakan-akan tidak percaya akan niat nekad aku itu. Disuruh fikirkan kali kedua, namun hati ini kuat mengatakan inilah keputusan yang muktamad.
Sampai sahaja di MAIJ, tanpa lengah terus ditanya di mana tempat untuk masuk Islam (pada masa itu tak tahu lagi istilah yang betul dan sesuai, tapi tahu...masuk ISLAM,bukannya masuk MELAYU). Di Bahagian Dakwah, beberapa orang ustaz dan ustazah sedang khusyuk menjalankan tanggungjawab masing-masing. Aku bagi ucap selamat pagi, tanpa lengah terus dinyatakan hasyat untuk menukar agama. Ustaz meminta kepastian berkaitan kemuktamadan keputusan aku. YA. Tanpa ragu. Diucap dua kalimah mulia..."Asyhadu AllaIllaHaIllallah, wa AsyhaduannaMuhammadarasullullah". Dengan 2 sahabat tadi menjadi saksi akan ucapan keimanan itu tadi, alhamdulillah keislaman telah dinyatakan. Doa kesyukuran dibacakan oleh Ustaz (maaf, terlupa nama) tadi sambil ditadahkan tangan ke langit untuk diaminkan doa tersebut. Sebuah beg berisi Iqra',Sejadah, kitab-kitab berkaitan Akidah, Akhlak, Munakahat dsb., dan Kain pelikat dihulurkan sebagai salam permulaan. Setelah beberapa helaian borang diisi, sijil pengIslaman diserahkan sebagai bukti hitam putih duniawi yang mengesahkan agama baru aku adalah Islam. Sebelum beredar, beberapa pesanan dan nasihat ustaz berikan. Antaranya, berpesan pada dua sahabat tadi agar memberi bimbingan asas kepada aku, menghadiri kelas agama yang dianjurkan oleh MAIJ mengikut jadual yang ditetapkan.
Kami bertiga bergegas balik ke rumah sewa pada masa itu dengan dada yang berdegup kencang. Apakah aku dapat menjadi seorang Muslim yang Muslim? Bagaimana Mak dan Aba? Keluarga? Kawan-kawan? Seribu satu soalan berlegar-legar di fikiran. Mampukah aku hadapi segalanya? Ikhlaskan aku? Uhhh... Gementar juga. Sampai di rumah waktu zohor hampir tiba. Bagaimana aku nak solat, caranya, bacaannya, syaratnya? Begitu banyak aku perlu pelajari. Seorang sahabat mengajak solat berjemaah bersama. Emm...panik juga dibuatnya. Malu. Sebabnya tak tahu. Dia faham, sekadar ikut gerakan solat tanpa bacaan. Pertama kali mengadap Allah, hati seakan-akan luruh, sebak dada, air mata seakan-akan terbit. Ini bukan mimpi. Hari kedua tiada bezanya, namun hati ini meronta-ronta untuk mendalami Islam itu. Ku buka satu persatu kitab-kitab yang ada dalam buku yang diberikan oleh ustaz tadi. Sahabat tadi terangkan secara seimbas lalu berkaitan solat, mandi wajib, wuduk, dan beberapa lagi perkara fardhu ain. Aku minta sahabat tadi rumikan tulisan jawi berkaitan bacaan solat untuk dihafal bagi memudahkan solat. Alhamdulillah, mampu dihafal semuanya. Jumaat pertama, seingat aku, aku ikut sahabat tadi solat jumaat di masjid di Taman Universiti (masjid Lama berdekatan dengan SK Tmn U). Pelbagai dugaan dan cabaranyang terpaksa aku hadapi di peringkat awal ini, namun kucekalkan hati untuk berpaut kukuh pada tauhid yang hakiki ini.
Itulah di antara bibit-bibit awal ku kenal Islam. InsyaAllah akan dicetuskan lagi hari-hari yang seterusnya hidupku sebagai seorang Islam. InsyaAllah.
27 April 2008
Menuju Cahaya Abadi
Catatan IBAN MUSLIM pada 4/27/2008 02:30:00 PTG