Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

28 Mei 2009

Pimpin Secara Islam, Bukan Kebatilan

Dalam perjalanan balik majlis ilmu sebentar tadi, sambil memandu kereta saya mendengar siaran radio IKIM. Saya tak pasti siapa panel slot perbincangan tersebut yang agak menarik minat saya untuk terus mendengar sehingga ke pintu pagar rumah.
Salah satu soalan yang diajukan oleh deejay pada slot berkenaan adalah, "adakah golongan ulama di Malaysia wajar untuk terus menerajui kepimpinan mana-mana parti dan merebut panggung kekuasaan dalam arena politik di negara ini?"
Panel tersebut menjawab persoalan tersebut berlandaskan kata-kata yang dikeluarkan oleh ulama terkemuka dunia, Yusuf al-Qardawi. Jawapannya begini,
"Ulama terus berjuang di dalam politik di tanahair oleh kerana dorongan yang kuat daripada al-Quran dan as-Sunnah. Oleh kerana dunia ini adalah milik Allah, maka ianya perlulah diurus tadbir berpandukan hukum Allah yakni al-Quran. Sekiranya pemimpin yang memimpin sesebuah negara tidak berpandukan kitabullah tersebut, sesungguhnya dia telah mengikut hawa nafsu dalam setiap urusan kepimpinan tersebut."
Tambahnya lagi, "selayaknya dunia ini dipimpin oleh manusia yang celik Islam. Jika tidak, kepimpinan selain daripada landasan Islam adalah kepimpinan berlandaskan kebatilan."
Sedarlah kita selaku umat Islam bahawa satu tanggungjawab yang besar kepada Muslim sekalian untuk memastikan muka bumi ini khususnya negara kita agar ditadbir urus oleh manusia yang mentadbir mengikut hukum Allah dan bukannya mengikut hukum hawa nafsu yang penuh kebatilan.
Satu lagi persoalan yang wajib untuk kita persoalkan, "sejauh manakah pemimpin yang memimpin kita dapat memimpin orang yang dipimpin sehinggalah kita terjamin keselamatan di dunia dan akhirat?
Kebanyakkan manusia di atas muka bumi ini berlumba-lumba merebut kekuasaan di atas muka dunia. Mereka sekadar berminat untuk memimpin hanya di dunia, sebaliknya jarang untuk menyelamatkan kehidupan akhirat rakyat jelata. Kenapa saya berkata begitu? Jawapannya amat mudah. Cuba kita buka siaran-siaran yang dipaparkan kepada kita di kaca-kaca televisyen. Cuba kita tinjau program-program yang disajikan kepada kita (konsert, pesta, dsb.). Cuba kita tinjau sukatan matapelajaran yang disajikan kepada anak-anak kita. Dan pelbagai lagi yang boleh kita tinjau. Apakah hasil tinjuan kita jika kita golongan yang perihatin? Jika hati kita tidak buta, kita mendapat jawapan yang diharapkan.
Seterusnya, sejauh mana peranan kita dalam usaha menyelamatkan akidah umat-umat Islam daripada dicemari fenomena akhlak yang semakin rancak menyerang dunia hari ini. Itu perbicaraan dalam lingkungan yang sedia ada dalam kelompok Islam. Bagaimana pula orang-orang yang masih belum Islam? Apakah program dakwah yang kita anjurkan untuk menyelamatkan mereka di dunia dan akhirat?
Bagi mata dan hati yang tidak buta, masing-masing ada jawapan yang kita sediakan untuk persoalan-persoalan tersebut!