Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

15 Mei 2009

Orang Belum Islam: Tuhan Hanya Ada Satu

Pengalaman hidup sebagai 'orang belum Islam' adalah satu pengalaman yang bukan semua orang ada. Hanya golongan 'istimewa' sahaja yang Tuhan anugerahkan pengalaman dua alam sebegini. Penulis adalah salah seorang daripadanya.
Dalam kehidupan seharian masyarakat Iban khususnya, episod sebuah kehidupan adalah bertujuan untuk mewujudkan kesenangan dan keselesaan hidup di dunia. Masing-masing berkehendakkan sebuah kehidupan yang harmoni, terhindar daripada kesusahan yang pelbagai, dipanjangkan usia, dan memiliki satu-satu kepercayaan ketuhanan.
Kupasan yang ingin dibawakan kali ini adalah konsep ketuhanan masyarakat Iban yang masih belum mengamalkan ajaran Islam.
Masyarakat Iban secara asasnya mewarisi kepercayaan nenek moyang yang diamalkan sejak zaman berzaman. Rasa percaya bahawa nenek moyang yang telah lama mati dan telah kembali ke 'sebayan' (alam selepas mati) mempunyai satu kuasa penolong kepada kehidupan orang yang masih hidup. Kepercayaan ini masih begitu menebal sekitar tahun 80-an sebelum tersebar dengan meluasnya agama Kristian di Negeri Sarawak khususnya.
Contohnya, apabila ingin memulakan musim menanam padi, upacara 'miring' akan diadakan terlebih dahulu agar musim menanam padi pada tahun tersebut beroleh keberkatan dengan memperoleh hasil yang lumayan atau buah padi yang baik. Di dalam upacara 'miring' ini, beberapa jampi serapah akan dibacakan oleh orang-orang tertentu (biasanya Tuai Rumah/Ketua Rumah Panjang).
Begitu juga apabila berlaku kematian. Upacara 'nyabak' dilakukan. Nyabak ini sekiranya ditafsirkan dari segi maknanya adalah 'menangis'. Seorang atau dua orang tukang 'sabak' akan duduk di atas buaian yang disediakan khas untuk mereka duduk untuk melakukan upacara tersebut. Sambil duduk di atas buaian tersebut, tukang sabak ini akan melagukan bait-bait mentera yang bukan semua orang dapat memahaminya. Pernah penulis bertanyakan kepada tukang sabak ini. Bahasa apakah itu? Beliau menjawab bahawa itu adalah bahasa 'orang sebayan'. Tujuannya? Agar si mati akan pergi ke alam kehidupan sebayan dengan tenang dan ditempatkan bersama orang yang baik dan berjumpa dengan ahli keluarga lain yang telah lama sudah meninggalkan dunia.
Dan...banyak lagi kepercayaan turun temurun yang diamalkan oleh masyarakat Iban.
Apa yang ingin cuba saya sampaikan di sini adalah soal kepercayaan. Ramai manusia yang belum Islam menganggap bahawa 'semua' Tuhan (Iban istilahkan sebagai 'PETARA') merencanakan sesuatu yang baik. Namun, di dalam kepercayaan Islam, Tuhan hanya SATU. Perkataan 'semua' itu sememangnya tidak boleh digunakan di dalam perkiraan Tuhan. Tuhan bagi manusia dan seluruh alam adalah Allah. Tiada Tuhan Selain Allah. Itu wajib diimani oleh seluruh manusia yang beragama Islam.
Menganggap semua tuhan daripada pelbagai jenis agama adalah sama adalah satu yang tidak benar. Bagi orang Islam, mempercayai adanya Tuhan lain selain Allah merupakan satu perbuatan syirik yang boleh menyebabkannya menjadi murtad yakni terkeluar daripada agama Islam. Itu jelas. Bagi orang yang masih belum Islam, anda perlu memahami bahawa tuhan agama anda tidak sama dengan Tuhan di dalam agama Islam. Kepercayaan kita terhadap ketuhanan tidak sama. Selagi anda tidak mengakui "Tiada Tuhan Selain Allah, dan Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah", selagi itulah kefahaman kita berbeza walaupun kita lahir daripada bangsa yang sama, misalnya Iban.
Yang pastinya, Allah adalah Tuhan bagi seluruh alam dan isinya.
Perlu diperjelaskan di sini bahawa, beragama Islam tidak bermakna anda 'masuk Melayu'. Masyarakat belum Islam masih terkeliru berkaitan perkara ini.
Dan, Islam itu sangat sesuai dianuti dan diamalkan sebagai agama oleh manusia di seluruh dunia. Ini kerana Islam bukan tertegak atau wujud atas satu-satu bangsa tertentu tetapi Islam didatangkan oleh Allah melalui Nabi Muhammad s.a.w untuk dipercayai dan diamalkan oleh seluruh manusia.
Sebagai orang Islam, maksud ayat yang diturunkan oleh Allah di dalam Al-Quran seperti di bawah perlu sentiasa segar di dalam minda kita;
Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
[Surah Ali Imran:102]
Yakinlah bahawa hanya Allah adalah Tuhan. Hanya Islam agama yang benar. Semua Bangsa Layak Beragama Islam.
Wallahualam.