Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

27 November 2011

SALAM MA'AL HIJRAH 1433H

24 November 2011

ISLAM: Agama yang Diredhai ALLAH

Maksud hadis:
Dan dari Abu Hurairah juga, katanya:
Rasulullah s.a.w., bersabda (maksudnya): "Segala amal akan datang pada hari qiamat (untuk memberi syafaat kepada yang mengerjakannya), - di antaranya sembahyang datang lalu berkata: "Ya Tuhanku! Akulah sembahyang"; Allah Taala berfirman (kepadanya): "Tujuan engkau itu baik, (tetapi engkau sahaja belum cukup)"; dan (selepas itu) datang pula sedekah, puasa dan amal-amal yang lain, semuanya itu Allah berfirman (kepada tiap-tiap satunya): "Tujuan engkau itu baik, tetapi engkau sahaja belum cukup)"; kemudian datang pula Islam lalu berkata: "Ya Tuhanku! Enqkaulah Tuhan yang bernama: As-Salam dan akulah: "Islam"; maka Allah Taala berfirman (kepadanya): "Tujuan engkau itu baik, pada hari ini dengan engkaulah aku menerima dan dengan engkaulah juga aku memberi balasan".
(Imam Ahmad)

Intipati Hadis:
Amal-amal: Sembahyang,
zakat, puasa dan lain-lainnya, datang pada hari qiamat untuk menolong yang mengerjakannya. Islam juga datang dan dengan Islamlah dinilai segala amal.

Huraiannya:

Keadaan Amal-amal yang baik pada hari Qiamat:
Segala yang berlaku pada hari qiamat, seperti kebangkitan manusia hidup semula dan balasan amal-amal masing-masing, keadaan syurga dan neraka dan lain-lainnya adalah perkara-perkara yang diterangkan perihalnya oleh Allah dan RasulNya; segala yang diterangkannya itu adalah benar belaka, tetap berlaku, sama ada manusia meyakininya atau tidak.

Apa jua yang akan berlaku pada hari qiamat tidak harus diukur dengan perkara-perkara biasa yang berlaku dalam dunia ini, kerana segala yang berlaku dalam alam akhirat adalah berlainan sama sekali keadaannya.

Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w., menerangkan bahawa pada hari qiamat kelak, amal-amal: Sembahyang, zakat, puasa dan lain-lainnya, masing-masing datang mengadap ke hadrat Allah `Azza wa Jalla dengan tujuan hendak memohon syafaat (pertolongan) bagi orang yang mengerjakannya.

Allah Taala memuji tujuan baik tiap-tiap amal itu dan menerangkan kepadanya, bahawa itu sahaja belum cukup dan belum tentu lagi dapat memberikan pertolongan selagi masing-masing belum dinilai tentang sahnya dan sempurnanya.

Setelah itu datanglah Islam mengadap Allah Taala dan memujiNya. Tujuan kedatangannya, juga untuk memohonkan syafaat pertolongan bagi orang yang mengerjakan amal dengan mematuhinya.

Allah Taala memuji tujuan Islam yang baik itu dan menegaskan bahawa dengan adanya Islam yang sempurna pada tiap-tiap amal yang dikerjakan maka Allah menerima amal itu serta membalasnya dengan balasan yang sesuai dengannya.

Sumber: JAKIM (http://www.islam.gov.my/mastika-hadith-0)

20 November 2011

Golongan Kafir, Golongan Menanti Azab


"Perbandingan hal mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka dan dibiarkannya mereka dalam gelap-gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun)." (Surah Al-Baqarah: Ayat 17).

"Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran)." (Surah Al-Baqarah: Ayat 18).


"Atau (bandingannya) seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit, bersama dengan gelap-gelita dan guruh serta kilat; mereka menyumbat jarinya ke dalam telinga masing-masing dari mendengar suara petir, kerana mereka takut mati. (Masakan mereka boleh terlepas), sedang (pengetahuan dan kekuasaan) Allah meliputi orang-orang yang kafir itu." (Surah Al-Baqarah: Ayat 19)

"Dan bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir (yang tidak mahu beriman itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain dari mendengar suara panggilan sahaja; mereka itu ialah orang-orang yang pekak, bisu dan buta; oleh sebab itu mereka tidak dapat menggunakan akalnya." (Surah Al-Baqarah: Ayat 171)

"Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, engkau akan dapat melihat pada muka orang-orang yang kafir itu tanda marah dan benci, hampir-hampir mereka hendak menerkam dan menyerang orang-orang yang membacakan ayat-ayat Kami kepada mereka. Katakanlah (wahai Muhammad): Jika demikian, mahukah, aku khabarkan kepada kamu yang lebih buruk lagi daripada apa yang telah menyebabkan kemarahan kamu itu? Ialah Neraka yang telah dijanjikan oleh Allah kepada orang-orang yang kafir dan itulah seburuk-buruk tempat kembali!" (Surah Al-Hajj: Ayat 72)

"Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku." (Surah Al-Kaafirun: Ayat 1 hingga 6)


IBANMUSLIM: Sekadar ingatan buat diri...