Peristiwa hijrah Rasulullah SAW bukanlah satu peristiwa yang berlaku secara tidak sengaja. Segala-galanya telah dirancang dan disusun dengan rapi oleh Allah SWT agar kita sebagai umat yang kemudian dapat mempelajari sesuatu daripada peristiwa yang hebat ini. Memang boleh sekiranya Allah menghijrahkan RasulNya dari Mekah ke Madinah dengan mukjizat sepenuhnya. Bahkan penghijrahan Baginda Rasulullah SAW boleh dilakukan dengan cepat dan tanpa perlu bersusah payah, dan Rasulullah pun boleh sampai ke bumi Madinah dengan selesa dan selamat. Tetapi yang jelas Allah tidak mengkehendakinya sedemikian. Hijrah telah ditakdirkan berlaku dalam bentuk peristiwa yang menggabungkan unsur perlindungan Ilahi dan juga ikhtiar manusia. Demikianlah kenyataannya, sepanjang perjalanan hijrah dari mula hingga akhir, ianya penuh dengan peristiwa-peristiwa yang cemas dan mendebarkan. Memang Rasulullah mendapat perlindungan Allah, tetapi Baginda juga terpaksa menempuhi perjalanan yang serba pahit. Bukannya mudah untuk lepas dari jaring-jaring maut kaum Quraish yang berhabis-habisan memburu untuk menghapuskan Baginda. Begitu rapinya perancangan kaum Quraish, namun perancangan hijrah Rasulullah yang diilhamkan oleh Allah jauh lebih rapi dan tersusun.
Sejak bermulanya penghijrahan dari Mekah ke Madinah, Rasulullah SAW memang sudah yakin bahawa Allah akan melindunginya. Namun, demikian Baginda tidak pernah merasa terkecuali dari kewajipan berikhtiar merencanakan perancangan hijrah dengan sebaik-baiknya. Antara perencanaan penting yang telah diperlihatkan oleh Baginda dalam menjayakan rencana penghijrahan ini termasuklah:
Pertama; perancangan yang rapi dan teliti. Baginda tidak tidur di biliknya pada malam itu. Sebaliknya diperintahkannya Ali ibn Abi Talib mengambil tempatnya tidur di kamar Baginda dengan tujuan untuk mengelirukan musuh yang menyangka Baginda masih berada di biliknya. Begitu juga Baginda tidak terus berangkat ke Madinah yang berada di sebelah Utara selepas keluar dari Mekah, tetapi sebaliknya Baginda menghala ke Selatan dan berhenti di Gua Thur selama tiga hari. Selepas tempoh tersebut barulah Baginda meneruskan perjalanannya ke Madinah, iaitu ketika gerakan pihak Quraish sudah mulai mengendur.
Kedua; sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkenaan pergerakan pihak musuh menerusi Abdullah ibn Abu Bakar yang telah ditugaskan untuk mengumpul maklumat di Mekah pada waktu siang dan pada malamnya melaporkan kepada Baginda di Gua Thur. Memang maklumat terkini adalah merupakan suatu yang amat bernilai sehingga kadang-kadang maklumat-maklumat penting sanggup dijual-beli dengan harga yang sangat mahal. Hari ini kita dapat menyaksikan semakin canggihnya perancangan perisikan yang tujuannya tidak lain hanya untuk mendapatkan maklumat.
Ketiga; kerahsiaan adalah satu perancangan Baginda yang sangat bereksan. Lihat saja bagaimana tidak seorang pun yang tahu termasuk teman karibnya seperti Abu Bakar r.a hinggalah ke saat perlaksanaannya. Menjaga kerahsiaan dalam hal-hal penting dan bahaya seperti itu memang merupakan suatu keperluan yang dirancang rapi. Kebocoran maklumat-maklumat penting hingga diketahui oleh pihak musuh akan mengakibatkan musnahnya seluruh perencanaan.
Keempat; menggunakan sepenuhnya kepakaran yang ada walau dari orang kafir sekalipun. Dalam peristiwa hijrah, Baginda telah mendapatkan khidmat seorang pemandu bukan Islam untuk menunjukkan jalan sulit yang tidak diketahui oleh orang ramai untuk ke Madinah. Hal ini dilakukan oleh Baginda setelah berpuas hati bahawa pemandu bukan Islam itu tidak akan mengkhianatinya.
Dari peristiwa-peristiwa yang telah berlaku nyatalah bahawa hijrah bukan hanya satu rentetan peristiwa tidak sengaja atau kebetulan yang terjadi dalam kehidupan Baginda Rasulullah SAW. Perjalanan hijrah dengan segala liku dan simpang-siurnya itu jelas mengandungi hikmah budaya kerja yang berencana (systematic.) Sesuatu cita-cita tidak mungkin dapat dijayakan cuma dengan doa dan penyerahan semata-mata, tetapi harus dilaksanakan dengan perencanaan yang cukup rapi. Yang dimaksudkan dengan perencanaan atau planning ialah suatu aliran menentukan matlamat, menggariskan kaedah-kaedah dan tindakan-tindakan untuk mencapai matlamat tersebut. Sementara yang dimaksudkan dengan perancangan pula ialah penggabungan dan penyepaduan pelbagai sumber yang dimiliki untuk menghadapi persekitaran dengan sebaik-baiknya.
Perencanaan juga disebut sebagai jambatan antara masa kini dengan masa depan yang membawa erti persiapan masa kini untuk menghadapi apa yang akan terjadi di masa depan. Ketika Allah memerintahkan kita agar bersiap sepenuhnya untuk menghadapi musuh dengan segala rupa kekuatan sepertimana yang telah Allah firmankan dalam surah al Anfal ayat yang ke 60. Ayat tersebut memerintahkan kita umat Islam membuat perancangan pertahanan jangka panjang dengan mengambil kira perubahan-perubahan dan kemajuan-kemajuan yang sedang berlaku dan akan berlaku dalam bidang ketenteraan dan juga teknologi persenjataan.
Lebih-lebih lagi di saat umat Islam menghadapi ancaman yang datangnya bukan sahaja dalam bidang ketenteraan, malah telah meningkat kepada ancaman-ancaman bentuk lain termasuk budaya, pendidikan dan ekonomi, maka perintah Tuhan, "...waa'iddu lahum..." (bersiaplah menghadapi mereka...) itu harus pula difahami dari sudut semangatnya dengan membuat perancangan-perancangan yang bernas lagi rapi dalam bidang-bidang lain seperti ilmu, kebudayaan, pendidikan, ekonomi dan sebagainya.
Lebih jauh dari itu al-Quran juga telah menampilkan peribadi Nabi Yusuf a.s. sebagai tokoh mithali perancang ekonomi sebagaimana yang diterangkan kepada kita dalam surah Yusuf, ayat yang ke-47 hingga ke-49. Di mana dalam ayat tersebut, Nabi Yusuf a.s telah menyarankan suatu perancangan ekonomi pertanian untuk jangka waktu empat belas tahun dengan membuat perimbangan di antara jumlah penghasilan, penggunaan, penyimpanan dan pelaburan semula. Dengan perencanaan bersifat melihat ke hadapan ini (speculation), krisis ekonomi yang dikhuatiri akan menimpa negara dapat dihindarkan.
Dalam zaman yang penuh persaingan seperti sekarang ini, kecemerlangan dan keunggulan hanya akan dapat dicapai dengan penyuburan budaya kerja berencana dan pemikiran bernas. Sehubungan dengan itu budaya ad hoc seharusnya dihindari kerana ia bukan budaya yang terpancar dari ajaran Islam.
Memang manusia hanya boleh merencana, tetapi Allah jua yang menentukan jaya atau tidaknya. Namun manusia tetap diwajibkan merencana dan melaksanakan rencananya dengan setepat-tepatnya. Rencana yang rapi tetapi tidak dilaksanakan sebagaimana semestinya akan berakhir dengan kegagalan. Demikianlah apa yang telah terjadi dalam Perang Uhud. Perancangannya sudah cukup rapi. Tetapi ada pasukan yang kurang berdisiplin lalu mengabaikan perlaksanaan yang telah direncanakan, maka akibatnya pasukan Islam mengalami pukulan teruk.
Demikianlah peri pentingnya perancangan yang rapi untuk mencapai matlamat yang kita cita-citakan. Di samping itu, seperkara yang harus diambil ingatan ialah sepanjang aliran perencanaan, mulai dari matlamat hinggalah kepada cara dan langkah-langkah mencapainya, harus dipastikan tidak menyimpang dari hukum dan akhlaq agama kerana dalam ajaran agama Islam, tujuan tidak menghalalkan cara.
Mudah-mudahan apa yang telah diperlihatkan oleh Rasulullah SAW menerusi peristiwa hijrah yang telah melakar sejarah yang cukup besar itu mampu untuk kita mengambil pengajaran daripadanya, dan berupaya menjadi umat yang peka dengan hikmah-hikmah yang terkandung di sebalik setiap peristiwa-peristiwa besar guna untuk dijadikan panduan kepada kita umat akhir zaman yang semakin terpinggir ini.
Sumber: Institute of Islamic Understanding Malaysia (IKIM)