Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

22 September 2010

Nafkah Untuk Keluarga Mendapat Ganjaran Pahala Yang Terbaik


Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:"Satu dinar yang engkau belanjakan pada jalan Allah, satu dinar yang engkau gunakan untuk memerdekakan hamba, satu dinar yang engkau sedekahkan kepada fakir miskin, satu dinar yang engkau nafkahkan untuk keluargamu, yang paling besar pahala ganjarannya ialah yang kamu nafkahkan kepada keluargamu." (H.R Muslim)-Sumber: JAKIM
Peringatan buat diriku yang kerdil...di mana ibu, di mana ayah, di mana kakak, di mana adik, di mana nenek, di mana atuk, di mana isteri, di mana anak...cukupkah makan-pakaimu...cukupkah biaya harian mu...Ya Allah, berikan aku rezeki yang terbaik untuk aku membiayai mereka...

18 September 2010

Syamail Muhammad S.A.W (Keperibadian Rasulullah)


Kitab Bulan Ini (Syawwal 1431H)-Sebagai panduan hidup berlandaskan sunnah Nabi S.A.W. Himpunan hadis oleh Imam al-Tirmizi tentang Rasulullah s.a.w merangkumi 5 aspek kehidupan Baginda s.a.w iaitu Fizikal, Perilaku, Ibadah, Perhubungan dan akhlak, dan Penghidupan...Sama-sama kita miliki dan dimanfaatkan sementara menunggu hari mati...InsyaAllah...

12 September 2010

Puasa Sunat Enam Hari Di Bulan Syawal

Hadith :
Daripada Abu Ayub r.a. bahawa Rasulullah SAW. bersabda, “ Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian mengiringinya dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal, pahalanya seperti berpuasa setahun”.

(Muslim)


Huraian
1. Islam menganjurkan umatnya supaya melakukan kebaikan dan kebajikan secara berterusan, walaupun sedikit.
2. Orang yang berpuasa Ramadhan diikuti dengan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal maka pahalanya sama dengan berpuasa setahun. Hal ini disebabkan puasa sunat satu hari bersamaan pahalanya dengan sepuluh hari. Manakala puasa Ramadhan bersamaan dengan sepuluh bulan, maka enam hari puasa sunat bersamaan dengan dua bulan, kemudian dicampurkan dengan sepuluh bulan jumlahnya menjadi setahun.
3. Seseorang yang hendak berpuasa sunat di bulan Syawal adalah lebih afdhal berturutan seperti puasa bulan Ramadhan tetapi dibolehkan berpuasa secara berselang hari selama dalam tempoh bulan Syawal itu.

Sumber: JAKIM

10 September 2010

Salam Eidul Fitri


7 September 2010

SERUAN MALAIKAT kepada TETAMU RAMADHAN

Petikan: Buletin Persatuan Ulama Kedah (PUK)


5 September 2010

LAILATUL-QADAR


Malam Lailatul-Qadar sunat dicari, kerana malam ini merupakan suatu malam yang diberkati serta mempunyai kelebihan dan diperkenankan doa oleh Allah S.W.T. Malam Lailatul-Qadar adalah sebaik-baik malam mengatasi semua malam termasuk malam Jumaat. Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Al-Qadr 97: Ayat 3.

Maksudnya:
"Malam Lailatul - Qadar lebih baik daripada seribu malam."

Ertinya menghidupkan malam Lailatul-Qadar dengan mengerjakan ibadah adalah lebih baik daripada beribadah pada seribu bulan yang tidak ada Lailatul-Qadar seperti sabda Nabi s.a.w.:

Maksudnya:
"Sesiapa menghidupkan malam Lailatul-Qadar kerana beriman serta mencari pahala yang dijanjikan akan mendapat pengampunan daripada dosa-dosa yang telah lalu."

Diriwayatkan daripada Saiyidatina Aisyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. apabila tiba 10 hari terakhir bulan ramadhan, Baginda menghidupkan malam-malamnya dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya. Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan:

Maksudnya:
"Rasulullah s.a.w. berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam lain."

Malam Lailatul-Qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya:
"Carilah malam Lailatul-Qadar pada sepuluh akhir bulan Ramadhan dalam malam ganjil."

Pendapat yang terkuat mengikut para ulama' bahawa malam Lailatul Qadar terkena pada malam 27 Ramadhan. Menurut Abu Ka'ab katanya, "Demi Allah sesungguhnya ibn Mas'ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatul-Qadar jatuh dalam bulan Ramadhan manakala Lailatul-Qadar pula terjatuh pada malam 27, akan tetapi dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya." Daripada Riwayat Mu'awiyah:

Maksudnya:
"Bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda dalam malam lailatul-qadar iaitu malam ke-27."

Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah Al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir(hia) yang kembalinya kepada Lailatul-Qadar.

Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah Hadith daripada Ibn Umar r.a yang berbunyi:
Maksudnya:
"Sesiapa yang mencari Lailatul-Qadar , dia hendaklah mencarinya pada malam yang ke-27, carilah kamu malam Lailatul-Qadar pada malam yang ke-27."

Aisyah r.a. bertanya kepada Rasulullah, katanya, "Ya Rasulullah s.a.w. andainya aku mendapati
malam Lailatul-Qadar, apakah doa yang patut aku bacakan? Rasulullah s.a.w. berdoa dengan doa:

Maksudnya:
" Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, oleh itu berilah keampunan-Mu untukku."

Petikan dari :
FIQH & Perundangan Islam Jilid II
Wahbah al-Zuhaili
Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka

(www.jais.gov.my)

4 September 2010

Minyak sapi jenama QBB Pure Ghee Tidak HALAL!


Minyak sapi jenama QBB Pure Ghee tidak halal2010/09/04KUALA LUMPUR: Pengguna beragama Islam diingatkan supaya tidak membeli dan menghentikan pengambilan minyak sapi jenama QBB Pure Ghee yang sudah ditarik balik status halalnya oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) 19 Ogos lalu kerana didapati mengandungi elemen yang meragukan.
Meskipun arahan untuk menarik balik barangan ini dari pasaran sudah dikeluarkan, namun berikutan permintaan tinggi bahan itu ketika Ramadan terutama menjelang sambutan Aidilfitri, pengguna dinasihatkan supaya memilih produk yang diyakini halal sebagai alternatif.
Pegawai Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Mohd Mustaffa Hamzah, juga menggesa syarikat pengeluar produk berkenaan, QBI Packaging Sdn Bhd menarik balik semua produk itu dalam pasaran kerana ia boleh mengelirukan pengguna Islam kerana tanda halal masih ada pada produk itu walaupun sudah ditarik balik oleh JAKIM.
Kami menerima banyak aduan daripada pengguna bahawa produk itu masih di pasaran dan ramai yang keliru sama ada ia halal atau pun sebaliknya kerana masih ada logo halal JAKIM tertera pada produk berkenaan, katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau berharap JAKIM dapat melakukan pemantauan rapi manakala syarikat terbabit dapat memberikan kerjasama dalam memastikan semua produk ditarik balik dari pasaran.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Setiausaha Kerja PPIM, Datuk Nadzim Johan meminta supaya Kementerian Kesihatan memantau dan menetapkan prosedur yang lebih ketat dan jelas kepada pengusaha pusat dialisis bagi memastikan ia terus diyakini.
Ini berikutan dakwaan seorang pesakit buah pinggang, Osman Mohamad, 53, dari Sabak Bernam yang kini menderita kesan jangkitan kuman didakwa berpunca daripada pengendalian pusat dialisis yang tidak sempurna. (Sumber: Berita Harian Online)

Perbanyakkan Amalan Sepanjang 10 Hari Terakhir Ramadhan

Foto: dulkimso

Hadis:
Daripada Aisyah r.a. katanya: “Rasulullah SAW memperbanyakkan amalan apabila sampai hari yang kesepuluh terakhir daripada bulan Ramadan, baginda juga membangunkan isterinya agar beribadat (sembahyang sunat, membaca al-Quran, berzikir dan lainnya) Baginda juga menjauhkan diri daripada bergaul serta bermesra dengan isterinya.”

(Hadis: al-Bukhari dan Muslim)
Huraian:
1. Islam menuntut umatnya yang berpuasa agar berusaha untuk menambahkan amal ibadat mereka apabila masuk hari yang kedua puluh satu Ramadan sehingga akhir, kerana di malam-malam tersebut akan berlaku Lailatul Qadar.
2. Oleh itu adalah sangat digalakkan untuk kita memperbanyakkan amal ibadat beriktikaf di dalam masjid melakukan sembahyang-sembahyang sunat seperti sunat taubat, sunat tahajjud, sunat tasbih, sunat hajat dan sebagainya selain daripada sunat tarawikh, membaca al-Quran dan berzikir.
3. Bagi para suami, inilah saatnya merebut peluang beribadah bersama keluarga dengan mengajak isteri mereka bangun beribadat bersama-sama. Mudah-mudahan rumahtangga yang dibina sentisa aman dan mendapat rahmat daripada Allah SWT.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia