Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

Memaparkan catatan dengan label Iban Muslim. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Iban Muslim. Papar semua catatan

6 Ogos 2015

JOM BANTU PUSAT PENGAJIAN DARUL HADIS PULAU PINANG

 
Wahai sahabat-sahabat yang baik, saya menyeru pada diri saya dan sahabat-sahabat IM sekalian...marilah kita belanjalah harta-harta kita pada jalan Allah. mari kita sama-sama bantu mereka untuk memartabatkan Islam terus subur di atas muka bumi ini. Mereka berusaha melahirkan para ilmuwan Islam. Mereka berusaha melahirkan ulama masa depan. Mereka berusaha melahirkan pewaris nabi...tugas kita sebagai masyarakat umum ialah menyokong mereka dengan menderma dan membelanjakan harta yang dikurniakan Allah kepada kita untuk jalan Allah. Maksud daripada ayat-ayat al-Quran di bawah dengan jelas menyentuh berkaitan perkara ini. Insya-Allah...
 
 
"(Ingatlah), kamu ini adalah orang-orang yang bertabiat demikian kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit dari harta benda kamu pada jalan Allah, maka ada di antara kamu yang berlaku bakhil, padahal sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya dia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatupun), sedang kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepadaNya dalam segala hal) dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan berderma) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu."
 
[Surah Muhammad: Ayat 38]
 
 
"Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah); mereka tetap beroleh pahala yang besar."
[Surah Al-Hadid: Ayat 7] 

11 Julai 2015

SELAWAT SAHIH


Lafaz bacaan selawat yang paling ringkas yang sesuai dengan dalil-dalil yang sahih adalah:

Dari hadis: [An-Nasae’i: 1292, sahih]

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

“Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.”

Kemudian terdapat riwayat-riwayat yang sahih dalam lapan riwayat, iaitu:

1.   Dari Ka’ab bin ‘Ujrah RA:

 اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Ya Allah, Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Bukhari dan Muslim]

2. Dari Abu Humaid As Saa’diy RA:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

“Ya Allah,berilah selawat kepada Muhammad dan kepada isteri-isteri Baginda dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim. Ya Allah, berkatilah Muhammad dan isteri-isteri Baginda dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Bukhari dan Muslim].

3.   Dari Abi Mas’ud Al-Ansori RA:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim, dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim atas sekalian alam, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Muslim]

4. Dari Abi Mas’ud, ‘Uqbah bin ‘Amr Al-Ansori RA (jalan kedua):

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَآلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad nabi yang ummi dan kepada keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberi selawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad, nabi yang ummi sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Abu Daud no. 981, sahih]

5. Dari Abi Sa’id Al-Khudri RA:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ.

“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad hamba-Mu dan Rasul-Mu, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim.” [HR Bukhari]

6. Dari seorang lelaki, sahabat Nabi SAW:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada ahli baitnya (keluarganya) dan isteri-isterinya dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Dan berkatilah Muhammad dan kepada ahli baitnya dan isteri-isterinya dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Ahmad, sahih].

7. Dari Abu Hurairah RA:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ وبَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat dan memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR At-Tohawi dalam “Musykil al-Athar” 3/75, An Nasa-i dalam “Amalul Yaum wal Lailah” no 47. Sahih]

8. Dari Tolhah bin ‘Ubaidullah RA:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.
“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah telah memberkati keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Imam Ahmad, sahih].


Sumber: Al-Fadhil Ustaz Dr. Abdul Basit Abdul Rahman

10 TANDA BESAR KIAMAT


Daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra. berkata:  
"Datang kepada kami Rasulullah SAW dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu beliau bersabda: "Apa yang kamu perbincangkan?". Kami menjawab: "Kami sedang berbincang tentang hari kiamat". Lalu Nabi saw. bersabda: "Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya". Kemudian beliau menyebutkannya: "Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam alaihissalam, Ya’juj dan Ma'juj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka".

(HR. Muslim)

 
Keterangan:

Sepuluh tanda-tanda kiamat yang disebutkan Rasulullah SAW dalam hadis ini adalah tanda-tanda kiamat yang besar-besar, akan terjadi di saat hampir tibanya hari kiamat. Sepuluh tanda itu ialah:

  1. Dukhan (asap) yang akan keluar dan mengakibatkan penyakit yang seperti selsema di kalangan orang-orang yang beriman dan akan mematikan semua orang kafir.
  2. Dajjal yang akan membawa fitnah besar yang akan meragut keimanan, hinggakan ramai orang yang akan terpedaya dengan seruannya.
  3. Binatang besar yang keluar berhampiran Bukit Shafa di Mekah yang akan bercakap bahawa manusia tidak beriman lagi kepada Allah swt.
  4. Matahari akan terbit dari tempat tenggelamnya. Maka pada saat itu Allah swt. tidak lagi menerima iman orang kafir dan tidak menerima taubat daripada orang yang berdosa.
  5. Turunnya Nabi Isa alaihissalam ke permukaan bumi ini. Beliau akan mendukung pemerintahan Imam Mahadi yang berdaulat pada masa itu dan beliau akan mematahkan segala salib yang dibuat oleh orang-orang Kristian dan beliau juga yang akan membunuh Dajjal.
  6. Keluarnya bangsa Ya'juj dan Ma'juj yang akan membuat kerosakan di permukaan bumi ini, iaitu apabila mereka berjaya menghancurkan dinding yang dibuat dari besi bercampur tembaga yang telah didirikan oleh Zul Qarnain bersama dengan pembantu-pembantunya pada zaman dahulu.
  7. Gempa bumi di Timur.
  8. Gempa bumi di Barat.
  9. Gempa bumi di Semenanjung Arab.
  10. Api besar yang akan menghalau manusia menuju ke Padang Mahsyar. Api itu akan bermula dari arah negeri Yaman.
Mengikut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitab Fathul Bari beliau mengatakan: “Apa yang dapat dirajihkan (pendapat yang terpilih) dari himpunan hadis-hadis Rasulullah SAW bahawa keluarnya Dajjal adalah yang mendahului segala petanda-petanda besar yang mengakibatkan perubahan besar yang berlaku di permukaan bumi ini. Keadaan itu akan disudahi dengan kematian Nabi Isa alaihissalam (setelah belian turun dari langit). Kemudian terbitnya matahari dari tempat tenggelamnya adalah permulaan tanda-tanda kiamat yang besar yang akan merosakkan sistem alam cakerawala yang mana kejadian ini akan disudahi dengan terjadinya peristiwa kiamat yang dahsyat itu. Barangkali keluarnya binatang yang disebutkan itu adalah terjadi di hari yang matahari pada waktu itu terbit dari tempat tenggelamnya”.

Saidina Umar al-Khathab r.a. berkata, "Hitung-hitunglah dirimu sendiri sebelum kamu dihitung, dan timbang-timbanglah dirimu terlebih dahulu sebelum kamu ditimbang, dan bersiap-siaplah untuk menghadapi alam terbuka yang besar (Padang Mahsyar)."

Wallahu a'lam bish-shawab.

Sumber:
40 HADIS TENTANG PERISTIWA AKHIR ZAMAN
Susunan Al-Fadhil Ustaz Abu Ali al-Banjari an-Nadwi (Ahmad Fahmi Zamzam)

LAHIRNYA IMAM MAHDI

 
Daripada Abdullah bin Mas'ud r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda: "Dunia tidak akan hilang (qiamat) sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki daripada keluarga ku (keturunan ku) yang namanya sama dengan namaku". (Riwayat Tirmizi)

Keterangan:
Hadis ini menerangkan kepada kita bahawasanya dunia ini tidak akan kiamat sehinggalah bangsa Arab dan juga bangsa Ajam dikuasai oleh seorang lelaki keturunan Rasulullah saw., iaitu Imam Mahdi. Ia akan melaksanakan keadilan di permukaan bumi ini dan akan diikuti oleh seluruh kaum muslimin. Ia akan memerintah selama tujuh tahun. Kemudian keluarlah Dajjal dan turun pula Nabi Isa 'alaihis salam, dan Nabi Isalah yang akan membunuh Dajjal itu. Menurut kebanyakan ulama, Imam Mahdi akan lahir di saat umat Islam berpecah-belah dan di masa pemerintahannya semua umat Islam akan bersatu dan berjaya menundukkan seluruh bangsa yang ada di dunia ini dibawah kekuasaan Islam.
 
Sumber:
40 HADIS TENTANG PERISTIWA AKHIR ZAMAN
Susunan Al-Fadhil Ustaz Abu Ali al-Banjari an-Nadwi (Ahmad Fahmi Zamzam)

8 Julai 2015

Wangian Nabi Isa a.s Membunuh Orang Kafir dan Dajal


Hadis oleh al-Nawwas ibn Sam’an al-Kilabi;- An-Nuwas ibn Sam’an berkata,
“Pada suatu pagi, Nabi s.a.w. bercerita mengenai Dajjal. Kadangkala Baginda menerangkan seperti ianya tidak penting dan kadangkala mengatakan yang ia amat merbahaya sehingga kami menyangka ia berada dekat pucuk pohon tamar. Apabila kami menemui baginda setelah itu, dengan wajah yang ketakutan Baginda bertanya,
“Mengapa dengan kamu?”
Kami berkata,
“Ya Rasulullah, pagi tadi tuan bercerita mengenai Dajjal, kadang-kadang seperti remeh, kadang-kadang seperti amat merbahaya sehingga kami sangka ia berada di pohon tamar berdekatan.”
Baginda bersabda:
“Bagi kamu, daku bimbangkan hal selain Dajjal. Jika dia muncul ketika aku berada dengan kamu, aku sendiri akan melawannya bagi pihak kamu. Jika dia muncul setelah daku pergi maka setiap kamu hendaklah menghadapinya bagi pihak kamu sendiri dan Allah akan menjaga setiap Muslim bagi pihak ku. Dajjal ialah seorang pemuda, berambut kerinting dan sebelah matanya tersembul. Daku menyamakannya seperti Abdul Uzza ibn Qatan. Sesiapa di kalangan kamu yang hidup untuk menyaksikannya, bacalah ayat permulaan Surah al-Kahfi. Dia akan muncul di antara Sham dan Iraq dan melakukan kemusnahan di kiri dan kanan. Wahai hamba-hamba Allah, berpegang teguhlah kepada kebenaran.”
Kami bertanya,
“Wahai Rasulullah, bagi satu hari yang seperti satu tahun, adakah solat sehari semalam memadai?”
Baginda s.a.w. bersabda:
“Kamu hendaklah melaksanakan solat mengikut masa ketika itu.”
Kami bertanya, “Ya Rasulullah, berapa pantas dia bergerak di bumi?”
Sabda Nabi s.a.w.
“Seperti awan yang dibawa angin. Dia akan mengajak manusia (kepada agama palsu) dan manusia akan terpengaruh dan mengekorinya. Dia akan perintah awan yang akan turunkan hujan dan perintah bumi yang akan menumbuhkan tanaman. Ternakan yang meragut tanaman itu, teteknya akan dipenuhi susu dan tubuhnya akan besar. Kemudian Dajjal akan pergi pula kepada kaum yang lain dan menyeru mereka (kepada agama batilnya) tetapi mereka menolaknya. Dia pun meninggalkan mereka, langsung mereka menderita kebuluran dan tidak berharta. Kemudian dia akan melalui kawasan yang tandus dan berkata, “Keluarkanlah khazanah kamu” dan keluarlah khazanah seperti sekawan lebah. Kemudian dia menyeru seorang remaja dan membelahnya dengan pedang dan meletakkan keratan itu berjauhan lalu menyeru dan remaja itu yang akan datang berlari sambil ketawa. Waktu itu Allah akan menghantar Isa Al-Masih dan Baginda akan turun di menara putih (al-manarrah al-baidha’) di timur Damsyik memakai dua pakaian berwarna kekuningan dengan meletakkan kedua tangan baginda di atas sayap dua 2 Malaikat. Apabila baginda menundukkan kepalanya maka jatuhlah butiran seperti mutiara. Setiap kafir yang terhidu haruman baginda akan mati dan nafas beliau sampai sejauh penglihatannya. Baginda akan mencari Dajjal dan menjumpainya di pintu Ludd, lalu membunuhnya.” Kemudian sekumpulan orang yang diselamatkan Allah SWT akan datang kepada baginda dan beliau menceriakan wajah mereka (dengan berita syurga). Kemudian Allah SWT wahyukan kepada baginda, “Aku telah lepaskan makhluk Ku yang tidak terlawan oleh sesiapa pun. Bawalah hamba-hamba Ku itu ke at-Thur.” Lalu Allah SWT mengeluarkan Yakjuj dan Makjuj, dan mereka akan turun di setiap lembah.”
 
[Riwayat Muslim, Kitab al-Fitan wa Ashrat as-Sa’ah, 8/196-199].

SEPULUH TERAKHIR RAMADAN


Hari ini...hari yang ke-21 Ramadan 1436H. Kita sedang berada di sepuluh hari terakhir Ramadan. Di situ ada janji pasti daripada Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud:

"Malam Al-Qadar lebih baik dari seribu bulan" (Al-Qadr: Ayat 2)

Nabi S.A.W berpesan agar kita berpuasa dengan penuh keimanan dan 'ihtisab' melalui hadis berikut: 

"Barangsiapa yang berpuasa Ramadan dalam keadaan penuh keimanan dan "ihtisab" , maka akan diampunkan baginya dosanya yang terdahulu" ( HR. Al-Bukhari).

Dalam kitab Fath Al-Bari, Imam Al-Hafidz Ibn Hajar memetik takrifan yang diberikan oleh Imam Al-Khattabi yang menyatakan bahawa 'ihtisab' itu adalah satu keinginan yang kuat ketika berpuasa untuk memperolehi pahalanya. Manakala, Imam Nawawi pula memberi takrifan ‘ihtisab’ sebagai ikhlas untuk Allah S.W.T dan mengkehendaki redha-Nya. (Syarah Sahih Muslim, An-Nawawi, 6/39; ‘Umdatul Qari, 1/226).

Nabi S.A.W bersungguh-sungguh beribadat pada sepuluh terakhir Ramadan. 

"Adalah Nabi S.A.W, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramadan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam yang lain" (HR. Muslim)

Malah, Nabi S.A.W turut mengejutkan ahli keluarga agar beribadat pada malam-malam istimewa tersebut. Ini jelas diterangkan dalam hadis berikut:

"Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)" (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Sebagai hamba yang serba kekurangan, marilah kita sama-sama meningkatkan prestasi amalan. Biarlah kita dikata sebagai beribadat secara bermusim. Biarlah dikatakan kita menjadi hamba Ramadan. Itu lebih baik daripada hamba yang tidak melakukan apa-apa dan tidak mengambil peluang langsung di kesempatan yang ada dengan keadaan baki usia yang semakin menyusut. Lebih merisaukan sekiranya kita digolongkan dalam golongan manusia yang celaka sebagaimana maksud hadis berikut:

"Sesungguhnya Nabi mengucapkan amin sebanyak tiga kali tatkala Jibril berdoa. Para Sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah! Engkau telah mengucapkan amin". Beliau menjawab: "Jibril telah mendatangiku, kemudian ia berkata: "Celakalah orang yang menjumpai Ramadan lalu tidak diampuni". Maka aku menjawab: "Amin". Ketika aku menaiki tangga mimbar kedua maka ia berkata: "Celakalah orang yang disebutkan namamu di hadapannya lalu tidak mengucapkan selawat kepadamu". Maka aku menjawab: "Amin". Ketika aku menaiki anak tangga mimbar ketiga, ia berkata: "Celakalah orang yang kedua orang tuanya mencapai usia tua berada di sisinya, lalu mereka tidak memasukkannya ke dalam syurga". Maka aku jawab: "Amin". (HR. al-Hakim)

 

SELAMAT BERIBADAT!

20 November 2009

ISLAM IKTIRAF SEMUA NABI DAN RASUL, YAHUDI DAN NASRANI (KRISTIAN) TIDAK IKTIRAF NABI MUHAMMAD S.A.W


Muslim (orang Islam) yang beriman wajib percaya kepada semua rasul dan nabi. Malah kita percaya dengan Nabi Isa a.s sebagai seorang nabi.

Dalam Al-Quran sememangnya jelas menerangkan bahawa Islam sahaja agama yang benar di sisi Allah sebagaimana yang dijelaskan di dalam ayat Al-Quran dalam surah Ali-Imran Ayat 19. Agama selain daipadanya, "Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidak akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi."[Ali Imran:85]

Tafsiran daripada ayat 47 Surah Maidah tersebut menyatakan bahwa pengikut-pengikut injil itu harus memutuskan perkara apa yang diturunkan Allah di dalam Injil itu, sampai kepada masa diturunkan Al-Quran. Maka, selapas turunnya al-Quran, wajib bagi seluruh manusian beriman kepadanya. Akan tetapi tetap ada yang ingkar! Malah, pengikut-pengikut Kristian sememangnya tidak bersetuju dengan Nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi akhir zaman. Pertikai? Nabi ditentukan oleh Allah. Begitu juga dengan Yahudi, sememangnya mereka tidak mengiktiraf Nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi akhir zaman. Berbeza sekali dengan Islam yang mengiktiraf nabi dan rasul yang Allah turunkan untuk umat manusia.
Dan orang-orang Yahudi berkata: Orang-orang nasrani itu tidak mempunyai sesuatu pegangan (agama yang benar) dan orang-orang nasrani pula berkata: Orang-orang Yahudi tidak mempunyai sesuatu pegangan (agama yang benar); padahal mereka membaca Kitab Suci masing-masing (Taurat dan Injil). Demikian juga orang-orang (musyrik dari kaum Jahiliah) yang tidak berilmu pengetahuan, mengatakan seperti yang dikatakan oleh mereka itu. Maka Allah akan menghukum (mengadili) di antara mereka pada hari kiamat mengenai apa yang mereka berselisihan padanya. [Al-Baqarah :113]
Orang-orang Yahudi dan nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu. [Al-Baqarah:120]
Untuk pengetahuan bersama, ayat Al-Quran ditafsirkan secara terperinci dari satu ayat ke satu ayat. Kita jangan sekadar mengambil potongan ayat-ayat tertentu kerana penjelasannya terperinci di dalam tafsiran yang dibuat oleh para ulama. Yang ini kita perlu 'mengaji' (belajar). Jika tidak kita hanya mentafsir ayat mengikut nafsu dan akal fikiran kita yang dangkal sahaja.
Kita sebagai umat Islam tidak memerlukan 'perantara' di antara kita dengan Allah! Kita boleh berdoa dan memohon doa terus kepada Allah Taala. Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar, Maha mengetahui apa yang hamba-Nya luahkan atau yang tersembunyi. Perlakuan dosa besar, mahupun dosa kecil sebagaimana yang diajar di dalam Islam. Umat Islam boleh memohon sendiri dan bertaubat kepada Allah Subhana Wa Taala. Tidak perlu kita mengucapkan aib yang kita lakukan kepada manusia, memadai kita mengadu dan berdoa 'directly' kepada Allah Taala.
Bagiku agamaku, bagimu agamamu.

25 Oktober 2009

BERSEDEKAHLAH...

Kiriman emel:Wan Rashid (wanrashid@tasco.com.my )



Untuk Renungan Bersama...


Rakaman ini dipetik dari program Motivasi Pagi -
TV 3 (6.30 pagi) oleh Ustazah Noorbayah Mahmood (Datuk)

Seorang gadis datang menemui Rasulullah dengan tangan kanannya disorokkan ke dalam poket bajunya. Dari raut wajahnya, anak gadis ini sedang menanggung kesakitan yang amat sangat. Lalu Rasulullah menegurnya. "Wahai anakku, kenapa wajahmu menampakkan kamu sedang kesakitan dan apa yang kamu sorokkan di tanganmu?"

Lalu gadis malang ini pun menceritakan hal yang berlaku padanya :- "Ya, Rasulullah, sesungguhnya aku adalah anak yatim piatu. Malam tadi aku telah bermimpi dan mimpiku itu telah membuatkan aku menanggung kesakitan ini." Balas gadis tadi. "Jika tidak jadi keberatan, ceritakanlah mimpimu itu wahai anakku."

Rasulullah mula tertarik dengan penjelasan gadis tersebut."Aku bermimpi berjumpa ibuku di dalam neraka. Keadaannya amat menyedihkan. Ibuku meminta diberikan air kerana dia amat dahaga kerana kepanasan api neraka itu hingga peluh tidak sempat keluar kerana kekeringan sekelip mata." Gadis itu berhenti seketika menahan sebak. "Kemudian ku lihat di tangan kirinya ada seketul keju dan di tangan kanannya ada sehelai tuala kecil. Beliau mengibas-ngibaskan kedua-dua benda tersebut untuk menghalang api dari membakar tubuhnya. Lantas aku bertanya ibuku, kenapa dia menerima balasan sebegitu rupa sedangkan ketika hidupnya ibuku adalah seorang hamba yang patuh dengan ajaran islam dan isteri yang taat kepada suaminya?

Lalu ibuku memberitahu bahawa ketika hidupnya dia amat bakhil. Hanya dua benda itu sahaja iaitu seketul keju dan sehelai tuala kecil pernah disedekahkan kepada fakir. Yang lainnya hanya untuk bermuka-muka dan menunjukkan kelebihan hartanya sahaja.

Lalu aku terus mencari ayahku. Rupanya beliau berada di syurga dan sedang menjamu penghuni syurga dengan makanan yang lazat dan minuman dari telaga nabi.

Ayahku memang amat terkenal kerana sikapnya yang dermawan dan kuat beramal. Lalu aku bertanya kepada ayahku. "Wahai ayah, ibu sedang kehausan dan menanggung azab di neraka. Tidakkah ayah ingin membantu ibu sedangkan di dunia ku lihat ibu amat mentaatimu dan menurut perintah agama.

Lalu dijawab oleh ayahnya. Sesungguhnya beliau dan semua penghuni syurga telah dilarang oleh Allah dari memberi walau setitik air kepada isterinya kerana itu adalah pembalasan untuk kebakhilan yang dilakukan ketika di dunia.

Oleh kerana kasihan melihat azab yang diterima oleh ibuku, aku lantas menceduk sedikit air mengguna tapak tangan kananku lalu dibawa ke neraka.

Belum sempat air tersebut mencecah bibir ibuku, api neraka telah menyambar tanganku sehingga melecur.

Seketika itu juga aku tersedar dan mendapati tapak tanganku melecur teruk.

Itulah sebabnya aku datang berjumpa engkau ya Rasulullah." Panjang lebar gadis itu bercerita sambil airmatanya tidak henti-henti mengalir di pipi.

Rasulullah kemudian meletakkan tongkatnya ke tapak tangan gadis tersebut lalu menadah tangan, berdoa memohon petunjuk dari Allah. Jika sekiranya mimpi gadis tersebut adalah benar maka disembuhkanlah agar menjadi iktibar kepada beliau dan semua umat Islam.

Lalu berkat kebesaranNya tangan gadis tersebut sembuh.

Rasulullah lantas berkata, "Wahai anakku, pulanglah....Banyakkan bersedekah dan berzikir dan pahalanya kau berikan kepada ibumu. Mudah-mudahan segala dosanya terampun. INSYALLAH"


WASSALAM.


12 Oktober 2009

MINYAK WANGI BERALKOHOL UNTUK SOLAT

Menurut maklumat yang di terima alkohol ialah nama yang digunakan di dalam kaedah saintifik kepada sebatian yang mempunyai kumpulan hidroksi (-OH), dan dikenali ada dua jenis yang agak baik, iaitu:

i)Alkohol kayu (methanol)
ii)Alkohol biji-bijian (ethanol)

Kedua jenis alkohol ini mempunyai sebatian yang merupakan formula am struktur (-OH).

Methanol adalah sebatian yang mempunyai formula struktur (CH-OH). Di hospital ia dikenali dengan nama 'spirit' yang dipakai untuk membunuh kuman. Jenis ini tidak digunakan untuk minuman.

Ethanol adalah sebatian yang mempunyai formula struktur(CH3CH2-OH). Bahan inilah yang digunakan sebagai campuran dalam minuman keras.

Dari penjelasan ringkas mengenai jenis alkohol itu dapat dapat disimpulkan bahawa setiap arak atau minuman keras ada mengandungi alkohol tetapi tidak semua alkohol itu adalah arak.

Alkohol dari proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis. Alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum.

Selain itu alkohol juga terhasil dari lebihan proses pembuatan makanan seperti tapai,sama ada dari ubi kayu atau pulut.Ianya adalah tidak najis dan harus dimakan.

Ubat-ubatan, minyak wangi yang dicampurkan alkohol yang diproses bukan untuk pembuatan arak adalah harus dan dimaafkan.

(Jemaah Ulama' Majlis Agama Islam Kelantan )



Alkohol merupakan satu cecair yang dijadikan sebahagian campuran bahan dalam minyak wangi dan minuman keras ataupun ubat-ubatan. Alkohol adalah tidak najis dan boleh digunakan di dalam solat jika kandungan alkohol tersebut dalam kadar yang sedikit dan tidak boleh dipisahkan dengan bahan asli. Alkohol yang diperoses bagi menghasil arak adalah najis dan haram.
(JAKIM)



Dimaafkan cecair yang najis seperti alkohol yang dicampurkan ke dalam ubat-ubatan atau benda-benda pewangi seperti air wangi atau minyak wangi bagi tujuan memelihara dari kerosakan atau untuk menahankan bauannya di atas kadar yang diperlukan bagi tujuan itu maka dengan itu benda-benda pewangian atau ubat-ubatan yang dicampurkan ke dalam cecair najis seperti alkohol bagi tujuan tersebut dan di atas kadar yang diperlukan bagi tujuan itu harus dipakai dan digunakan sekalipun di dalam sembahyang.

(Majlis Fatwa Negeri Kedah)



Wallahu 'alam... Para alim ulama' yang mempunyai pandangan yang boleh dikongsikan bersama demi kesempurnaan ibadat mukmin sekalian diharap dapat memberikan buah fikiran yang bermanafaat. InsyaAllah.

DAJJAL


Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: "Rasululah s.a.w telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh masalah Dajjal. Baginda telah bersabda: "Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi (angkatan) kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin.

"Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Irak. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan saya terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya.

"Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis KAFIR, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf.

"Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas. Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk.

"Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab: "Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?" Orang Arab itu akan berkata: "Tentu." Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu bapanya berkata kepadanya: "Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu."

"Di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, yakni dia bunuh dan dia belah dua. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: "Lihatlah apa yang akan ku lakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula. Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: "Siapa Tuhanmu?" Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang beriman, menjawab: "Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah." Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga."

Kata Rasulullah s.a.w lagi: "Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit supaya menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak mengakunya sebagai Tuhan, maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi.

"Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi.

"Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak didatangi Dajjal kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia hanya berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah. Namun demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar dan pergi bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah.

Dalam hadis yang lain, "di antara fitnah atau tipu daya yang dibawanya itu, Dajjal itu lalu di satu tempat kemudian mereka mendustakannya (tidak beriman kepadanya), maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman mereka tidak menjadi dan hujan pun tidak turun di daerah mereka. Kemudian dia lalu di satu tempat mengajak mereka supaya beriman kepadanya. Mereka pun beriman kepadanya. Maka disebabkan yang demikian itu Dajjal menyuruh langit supaya menurunkan hujannya dan menyuruh bumi supaya menumbuhkan tumbuh-tumbuhannya. Maka mereka mudah mendapatkan air dan tanam-tanaman mereka subur."

Dari Anas bin Malik, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: "Menjelang turunnya Dajjal ada tahun-tahun tipu daya, iaitu tahun orang-orang pendusta dipercayai orang dan orang jujur tidak dipercayai. Orang yang tidak amanah dipercayai dan orang amanah tidak dipercayai."

Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w ada bersabda: "Bumi yang paling baik adalah Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal nanti ia dikawal oleh malaikat. Dajjal tidak sanggup memasuki Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal (di luar Madinah), kota Madinah bergegar tiga kali. Orang-orang munafik yang ada di Madinah (lelaki atau perempuan) bagaikan cacing kepanasan kemudian mereka keluar meninggalkan Madinah. Kaum wanita adalah yang paling banyak lari ketika itu.

Itulah yang dikatakan hari pembersihan. Madinah membersihkan kotorannya seperti tukang besi membersihkan karat-karat besi."

Diriwayatkan oleh Ahmad, hadis yang diterima dari Aisyah r.a. mengatakan: "Pernah satu hari Rasulullah s.a.w masuk ke rumahku ketika aku sedang menangis. Melihat saya menangis beliau bertanya: "Mengapa menangis?" Saya menjawab: "Ya Rasulullah, engkau telah menceritakan Dajjal, maka saya takut mendengarnya." Rasulullah s.a.w berkata: "Seandainya Dajjal datang pada waktu aku masih hidup, maka aku akan menjaga kamu dari gangguannya. Kalau dia datang setelah kematianku, maka Tuhan kamu tidak buta dan cacat."

Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: "Dajjal muncul pada waktu orang tidak berpegang kepada agama dan jahil tentang agama. Pada zaman Dajjal ada empat puluh hari, yang mana satu hari terasa bagaikan setahun, ada satu hari yang terasa bagaikan sebulan, ada satu hari yang terasa satu minggu, kemudian hari-hari berikutnya seperti hari biasa."

Ada yang bertanya: "Ya Rasulullah, tentang hari yang terasa satu tahun itu, apakah boleh kami solat lima waktu juga?" Rasulullah s.a.w menjawab: "Ukurlah berapa jarak solat yang lima waktu itu." Menurut riwayat Dajjal itu nanti akan berkata: "Akulah Tuhan sekalian alam, dan matahari ini berjalan dengan izinku. Apakah kamu bermaksud menahannya?" Katanya sambil ditahannya matahari itu, sehingga satu hari lamanya menjadi satu minggu atau satu bulan.

Setelah dia tunjukkan kehebatannya menahan matahari itu, dia berkata kepada manusia: "Sekarang apakah kamu ingin supaya matahari itu berjalan?" Mereka semua menjawab: "Ya, kami ingin." Maka dia tunjukkan lagi kehebatannya dengan menjadikan satu hari begitu cepat berjalan.

Menurut riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda: "Akan keluarlah Dajjal kepada umatku dan dia akan hidup di tengah-tengah mereka selama empat puluh. Saya sendiri pun tidak pasti apakah empat puluh hari, empat puluh bulan atau empat puluh tahun. Kemudian Allah SWT mengutus Isa bin Maryam yang rupanya seolah-olah Urwah bin Mas'ud dan kemudian membunuh Dajjal itu."

Dan menurut ceritanya setelah munculnya Dajjal hampir semua penduduk dunia menjadi kafir, yakni beriman kepada Dajjal. Menurut ceritanya orang yang tetap dalam iman hanya tinggal 12,000 lelaki dan 7,000 kaum wanita.

Wallahu A'lam.


31 Ogos 2009

Kemerdekaan Dari Perspektif Islam



Kemerdekaan yang sebenar menurut Islam terkandung di dalam kata-kata Rub'ie bin A'mir ketika bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum

"Allah mengutuskan kami (orang-orang Islam), untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat."

Rub'ie bin Amir menyimpulkan kefahaman Islam yang diperolehinya daripada pentarbiyahan Nabi Muhammad SAW bahawa penjajahan bukan sahaja boleh berlaku melalui penguasaan bangsa asing terhadap sesuatu kaum, tetapi ia juga boleh berlaku melalui penguasaan bangsa sendiri.

Jika kemerdekaan bererti kebebasan daripada penguasaan bangsa asing, kenapa Rasulullah SAW berjuang membebaskan diri dan manusia daripada kekuasaan musyrikin Makkah yang sebangsa dan seketurunan dengan nabi?


Ini bermakna, Kemerdekaan yang sebenar ialah..

"Memerdekakan manusia daripada perhambaan sesama manusia sama ada bebas bersuara, pemilikan, bertindak, bermuamalah dan seumpamanya."


Kebebasan tadi mestilah dibatasi oleh hukum Allah SWT bagi memastikan tiada ruang untuk penjajahan melalui sistem dan undang-undang ciptaan manusia.


Memerdekakan manusia daripada ikatan agama yang direka oleh manusia sama ada:

1. Agama yang dicipta oleh manusia yang dijadikan sembahan, fahaman dan anutan.
2. Agama yang diturunkan oleh Allah tetapi ditafsirkan mengikut akal tanpa kaedah yang dibenarkan oleh Syariat.


Seterusnya, membebaskan manusia daripada dibelenggu oleh matlamat dunia yang sempit melalui:

1. Menyedarkan manusia bahawa dunia adalah sementara yang menjadi tempat persinggahan.
2. Menjadikan manusia bekerja di dunia untuk akhirat yang merupakan kehidupan yang sebenar.

Justeru, kemerdekaan yang sebenar ialah :


Membebaskan jasad dan material daripada penjajahan manusia. Membebaskan akal fikiran serta mentaliti daripada dibelenggu oleh doktrin-dokrin yang bercanggah dengan Islam.


21 Ogos 2009

Selamat Menyambut Ramadhan 1430H

Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak buat semua. Beberapa detik sahaja lagi kita bakal melangkah ke hari baru dan bulan baru, dan sebaik sahaja selesai solat Isya' pada malam nanti seluruh umat Islam akan berbondong-bondong mengerjakan solat sunat Terawih di masjid-masjid atau surau-surau atau di mana sahaja.

Sesuatu yang bakal mengkagumkan kita sebagai muslim apabila tibanya bulan yang mulia ini di mana muslimin muslimat, kecil besar, tua muda semuanya berlumba-lumba mencari pahala besar yang dijanjikan oleh Allah sempena bulan ibadat ini. Namun, terdapat juga segelintir manusia yang tetap seperti dahulu, Ramadhan tidak membawa sebarang erti bagi dirinya dan menganggap Ramadhan seperti bulan-bulan lain. Sesungguhnya golongan ini adalah golongan yang rugi. Semoga kita semua dijauhkan dari golongan seperti itu dan semoga kita semua diberi hidayah petunjuk oleh Allah Taala.

Permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan, dan penghujungnya pembebasan dari api neraka. Itulah istimewanya Ramadhan.

Seharusnya, dengan bonus usia yang dikurniakan oleh Allah kepada kita dapat dimanfaatkan sebaiknya agar kita tidak terlepas daripada pahala berlipat ganda yang bakal kita tuai di hari akhirat kelak.



Sedaya upaya mungkin, sama-sama kita cuba untuk mengkhatamkan bacaan al-Quran sempena bulan turunnya al-Quran ini. Kita berharap agar Ramadhan yang datang kepada kita mampu memberi impak yang positif kepada kita sehingga bulan ini mampu memadamkan dosa-dosa lalu yang kita lakukan. Umpama makbulnya doa Nabi Yusuf a.s putera Nabi Allah Yakub a.s terhadap kesilapan yang dilakukan oleh 11 adik beradiknya yang lain.

Menunaikan amalan sunat di bulan Ramadhan juga diberikan ganjaran mengerjakan sebagaimana mengerjakan pahala fardhu, manakala mengerjakan amalan yang fardhu kita diberikan pahala sebanyak 70 kali ganda. Begitu istimewanya bulan ini kepada kita selaku umat Islam. Pintu sudah dibuka, terpulanglah kepada kita ingin memasukinya ataupun tidak.

Semoga kita semua melangkahkan kaki kita dengan penuh bersemangat di bulan Ramadhan ini agar kita dapat mendapat saham akhirat yang tidak ternilai harganya.



SELAMAT BERPUASA DAN BERIBADAT kepada muslimin dan muslimat sekalian.

2 Ogos 2009

MB Selangor wajibkan pemaju tunjuk arah kiblat

Menteri besar Selangor hari ini (1 Ogos) mencadangkan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) di negerinya memastikan pemaju menetapkan arah kiblat sebagai syarat tambahan bagi kelulusan pelan projek. Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pemaju perlu mendapatkan maklumat awal daripada Jabatan Mufti bagi memastikan kedudukan arah kiblat di kawasan pelan projek yang dibangunkan, lapor Bernama.

"Saya berharap melalui syarat ini semua pihak akan lebih prihatin dengan kedudukan kiblat yang menjadi perkara penting dalam ibadah umat Islam," beliau dipetik berkata ketika merasmikan Konvensyen Falak Selangor 2009 kali kelima di Shah Alam.

Tambahnya, pemaju juga diminta mendirikan replika petunjuk arah kiblat di taman-taman perumahan yang baru dibuka sebagai panduan kepada penduduk setempat.Selain itu, beliau berkata petunjuk arah kiblat yang betul perlu diwujudkan di ruang solat setiap rumah, pejabat, premis perniagaan, hotel dan kawasan rehat di negeri itu.

Abdul Khalid berkata, masjid dan surau yang hendak dibina di negeri itu juga diminta mendapatkan nasihat Jabatan Mufti bagi memastikan kiblat yang betul.

"Terdapat beberapa kes yang arah kiblat di atas pelan tidak tepat dengan kedudukan sebenar di tapak pembinaan, jadi kita tidak mahu surau atau masjid yang dibina dengan nilai jutaan ringgit tetapi tidak tepat kedudukan kiblatnya," katanya. -malaysiakini/-

IM:
Satu langkah yang baik dalam usaha memudahkan umat Islam beribadah kepada Allah. Langkah ini perlu dicontohi dan dipandang serius oleh semua pemaju perumahan di seluruh negara. Malahan, pihak Majlis Daerah, Majlis Perbandaran, Dewan Bandaraya dan seumpamanya perlu memastikan setiap pembangunan sesuatu kawasan dilengkapi kemudahan ibadat umat Islam seperti surau, petunjuk arah kiblat, dan masjid.

Terdapat sesetengah bandar seperti Bandar Sri Aman, Sarawak masih tidak disediakan surau di kawasan bandar tersebut. Sesiapa yang ingin solat terpaksa pergi ke Masjid Jamek bandar berkenaan yang terletak agak jauh dari bandar. Sekurang-kurangnya Majlis Bandar berkenaan sediakan satu ruang solat di stesyen bas kerana di situ adalah tumpuan ramai.

Selain itu, pusat-pusat rekreasi di kebanyakan tempat juga jarang betul adanya surau untuk tujuan bersembahyang. Dengan adanya surau yang disediakan tersebut, mudahlah para pengunjung menunaikan tanggungjawab mereka kepada Allah s.w.t.

Semoga Malaysia yang diura-urakan sebagai negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi dapat melihat perkara-perkara sebegini agar keIslaman setiap penduduknya sentiasa terpelihara dengan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai umat Islam walau di mana sahaja berada.

28 Ribu Rakyat Malaysia Dijangka Mati Disebabkan H1N1

Dianggarkan 5,500 hingga 28,000 rakyat Malaysia akan mati dalam wabak selesema A (H1N1) jika 20 peratus daripada 27.7 juta penduduk negara ini dijangkiti virus tersebut.

"Daripada angka ini (5.5 juta orang dijangkiti), jika kita anggarkan kadar kematian antara 0.1 hingga 0.5 peratus, kira-kira 5,500 hingga 28,000 penghidap selesema itu akan meninggal dunia," kata presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Dr David KL Quek memetik unjuran yang dibuat pengarah penyakit berjangkit Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tee Ah Sian dalam satu mesyuarat pasukan kebangsaan petugas khas menangani wabak itu, pada awal minggu ini. -malaysiakini/-

IBANMUSLIM (IM):
Sebagai rakyat yang tidak tahu menahu berkaitan penyakit ini dan menganggap ianya sebagai flu biasa, kita tidak pernah berasa risau atau bimbang. Tambahan pula, pihak yang bertanggungjawab terhadap kesihatan tidak bertindak secara besar-besaran dalam menangani masalah ini. Mereka sekadar mengingatkan rakyat berhati-hati tetapi suatu langkah yang betul-betul drastik tidak diambil.

Beberapa minggu lalu pun, ketika penerbangan balik daripada Kuching ke KLIA setiap penumpang diminta mengisi borang soal selidik H1N1, namun sesampainya di KLIA borang tersebut tidak dipungut oleh pihak bertanggungjawab. Itu mungkin satu contoh yang kecil. Tetapi, kita harus ingat bahawa lapangan terbang adalah pintu masuk utama ke dalam negara ini.

Hingga ke hari ini, 5 rakyat Malaysia telah meninggal dunia akibat penyakit ini. Adakah mungkin kita hendak menunggu hingga angka 1000 kematian atau tidak peduli langsung?

30 Julai 2009

Tips serta Adab Sebagai Seorang Mualaf

1/ Setelah bersama Islam tolong jangan lupa asal usul. Anda tidak akan menukar bangsa anda. Anda Iban, Cina, India, Orang Asli, Dusun Melanau, Murut, dan apajua jenis bangsa, bangsa anda tetap tidak berubah, Yang berubah hanya pegangan hidup. Dari bukan Islam kepada Islam. Daripada yang batil kepada yang haq (benar).

2/ Jangan sesekali kita berasa malu dek kerana kita baharu sahaja usia Islam berbanding rakan Islam yang lain terutama yang memang dilahirkan daripada ibu bapa nya Islam. Setelah mengucap dua kalimah syahadah, kita adalah saudara sesama Islam. Cuma tahap pengetahuan berkaitan agama Islam yang agak berbeza. Jika anda rajin menuntut ilmu, insyaAllah kita berilmu dan orang Islam yang berkualiti tinggi adalah orang Islam yang kaya dengan ilmu Islam.

3/ Jangan mementingkan diri. Maksudnya, setelah kita ditunjukkan hidayah oleh Allah, maka tugas besar kita seterusnya adalah mengajak ahli keluarga kita yang lain kepada Islam. Sememangnya satu tugas yang berat. Jika tidak mampu dengan mulut, tunjukkan akhlak Islam yang baik kepada mereka.

4/ Jangan sesekali bersifat sombong. Kita sebagai Muslim digalakkan menziarahi saudara mara walaupun kita berlainan agama. Lebih-lebih lagi ibu bapa sendiri. Walaupun mereka belum Islam lagi kita sebagai anak perlu menziarahi mereka seperti biasa. Jangan biarkan mereka rasa terpinggir. Sekurang-kurangnya hubungi mereka melalui telefon dari semasa ke semasa.

5/ Sekiranya ibu bapa kita yang masih belum Islam datang bertandang ke rumah kita, jangan berasa janggal dek kerana mereka tidak menutup aurat apabila keluar rumah. Jangan marah mereka kerana itu adalah cara mereka sejak dahulu.

6/ Teruskan berdoa kepada Allah agar mereka juga mendapat petunjuk dan hidayah daripada Ilahi.

28 Julai 2009

Cabaran Aku Bersama Islam

Sekadar ingin berkongsi pengalaman sebagai seorang insan kerdil yang berhijrah dari seorang jahiliah kepada agama Islam yang benar di sisi Allah.

Sememangnya pelbagai persediaan yang perlu dipersiapkan pada diri. Bukan boleh main terjah gitu aje...Ini kerana, soal beragama adalah 'mandatori'. Bukan boleh dibuat main dan dicuba-cuba.

Berikut adalah beberapa persoalan, isu, dan gangguan yang perlu ditangani untuk berhijrah bersama Islam:

1/ Tentangan Keluarga - Ini adalah masalah pertama yang memeningkan manusia sama ada hendak meneruskan niat memeluk Islam atau sebaliknya. Sama ada takut dibuang oleh keluarga atau hendak menjaga hati ahli keluarga. Memilih sesuatu yang baik pasti ada cabarannya. Anda perlu berani! Jangan peningkan kepala anda. Teruskan niat bersama Islam, InsyaAllah Allah akan memudahkan langkah yang seterusnya. Sesungguhnya, Allah bersama-sama kita walau di mana kita berada. Yakin sepenuhnya, dan bertawaakal sepenuh hati pada Allah.

2/ Pelajari ilmu Islam - Sanggupkah belajar perkara baharu? Ya, anda mesti dan wajib jika ini keputusan anda. Islam bukan boleh ikut suka-suka. Ada peraturan (hukum) yang perlu dipatuhi dalam amalan seharian sama. Contoh, nak sembahyang, ada caranya. Perlu belajar. Tak susah. Yang penting ada keinginan hendak belajar. Ini bukan satu beban tetapi satu nikmat yang tidak ada pada orang belum Islam. Yang penting kita ikhlas semasa melakukannya.

3/ Adat nenek moyang ? - Tak perlu lakukan dah. Guna acuan Islam sepenuhnya. Islam ni lengkap dah...tak perlu ikut adat-adat rekaan manusia. Manusia pun Allah yang cipta. Ikut lah perintah Pencipta! Bukan nenek moyang yang cipta kita!

4/ Aurat - Kena tutup! Setelah belajar nanti, tahulah batasannya. Mana yang boleh dilihat? Mana yang tak boleh dilihat? Siapa yang boleh lihat? Dan ingat...jangan ikut 'orang'! Kadang-kadang orang tak betul. Ikutlah peraturan yang telah ditetapkan oleh Islam sepenuhnya.

5/ Makan minum - Ada yang boleh dan ada yang tak boleh dimakan. Yang pasti, makanan yang dibenarkan adalah yang baik untuk badan kita sebagai manusia. Yang tak dibenarkan tu sudah pasti ada mudaratnya.

6/ Hubungan dengan ibu bapa dan ahli keluarga - Tolong jaga! Jangan putuskan silaturrahim. Tunjukkan akhlak yang baik kepada seluruh ahli keluarga kita. Walau kita berlainan agama, namun mak tetap mak...bapa tetap bapa...

7/ Baca al-Quran - Belajar...belajar...dan terus belajar. InsyaAllah boleh baca. Satu nikmat yang saya pun tak reti nak cerita. Sungguh menakjubkan! Budak kecik pun boleh baca...hang yang tua takkan tak boleh! Jangan malu untuk belajar dari yang berilmu.

8/ Masyarakat sekeliling - Jangan malu orang nak kata apa. Mulut manusia memang kita tak mampu untuk tutup. Biarlah dia nak kata apa. Bangsa keturunan tak boleh diubah. Jangan malu anda orang cina, india, iban, bidayuh, kadazan, orang asli dan sebagainya. Islam untuk semua dan bukan khusus untuk satu bangsa sahaja. Macam saya, saya akui saya adalah Iban Muslim!

9/ Gaya hidup - ubah gaya hidup! Jika bercanggah dengan kehendak dan standard Islam, maka jangan berlengah lagi...tinggalkan. Kalu dulu bangun pagi ikut suka, sekarang...bangun awal untuk solat subuh.

Apa lagi ya?... Banyak lagi. Tapi untuk kali ini, cukup sekadar ini dulu...sekadar ingin mengingati sejarah diri dan boleh dikongsi dengan yang sudi.

Aku bahagia hidup sebagai seorang Muslim.

25 Julai 2009

3 Perkara Mendapatkan Kesedapan Iman

Dari Anas r.a, Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

Ada 3 perkara, barangsiapa melaksanakan ketiga-tiganya, nescaya ia akan mendapatkan kesedapan iman;

1) Orang yang cinta kepada Allah dan Rasul-Nya melebihi daripada cintanya kepada yang lain daripada keduanya.

2) Orang yang mencintai orang lain, kerana Allah semata-mata.

3) Orang yang benci untuk kembali kepada kafir, setelah Allah melepaskannya daripada (belenggu) kekafiran itu, sama dengan bencinya akan dijatuhkan ke dalam neraka "

(Sahih Bukhari)

11 Julai 2009

Kembara Hamba: Dari Alam Roh hingga ke Syurga atau Neraka

ALAM ROH

"Bukankah Aku ini Tuhanmu? Roh menjawab, ya kami menjadi saksi (kewujudan-Mu)."
(al-A'raf:172)

ALAM RAHIM
Dari Abdullah bin Mas'ud r.a, Rasulullah s.a.w pernah bersabda, "Kejadian seseorang itu dikumpulkan di dalam perut ibunya selama 40 hari. Sebaik genap 40 hari kali kedua terbentuklah segumpal darah beku. Manakala genap 40 hari ketiga bertukar menjadi seketul daging. Kemudian Allah S.W.T mengutus malaikat untuk meniupkan roh serta memerintahkan supaya menulis empat perkara iaitu ditentukan rezeki, tempoh kematian, amalan serta nasibnya sama ada mendapat kecelakaan atau kebahagiaan..."
ALAM DUNIA
"Dijadikan mati dan hidup bagi kamu untuk menguji siapakah antara kamu yang terbaik amalannya."
(al-Mulk:2)
ALAM BARZAKH
"Dan (ingatkanlah) hari Kami bongkar dan terbangkan gunung-ganang dan engkau akan melihat (seluruh) muka bumi akan terdedah nyata dan Kami himpunkan mereka (di padang mahsyar) sehingga Kami tidak akan tinggalkan seorang pun dari mereka."
(al-Kahfi:47)

ALAM MAHSYAR
"Mereka diddedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam barzakh) dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat) : Masukanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!"
(Ghaafir: 46)

ALAM SYURGA ATAU NERAKA
"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya."
(Ali Imraan:185)