Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

Memaparkan catatan dengan label Hadis 40. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hadis 40. Papar semua catatan

29 Mei 2010

Hadis ke-4: Empat Ketentuan Yang Ditentukan Terhadap Manusia Sebelum Lahir Ke Dunia

Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas'uud r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda, dan Baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan (iaitu dipercayai):

"Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya roh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga."

[HR Bukhari & Muslim]

Pengajaran hadis:
Kejadian manusia yang unik menunjukkan kekuasaan Allah SWT mencipta makhlukNya, seterusnya menjadi dalil bahawa hanya Dialah Tuhan yang berhak disembah. Kejadian manusia mesti menjadi renungan manusia yang berakal, kerana kejadiannya yang teramat indah dan unik ini tiada tolok bandingnya - manusia tidak mampu mencipta manusia atau robot bernyawa dan berakal fikiran.
Proses kejadian manusia yang berperingkat-peringkat ini telah diceritakan oleh lslam melalui al-Qur'an dan hadis Nabi semenjak 14 kurun lampau, tetapi manusia baru benar-benar arif tentang proses ini di zaman kemajuan sains. lni adalah bukti yang jelas bahawa Allah SWT yang mencipta makhluk ini, Dia jugalah yang Maha mengetahui rahsia kejadian mereka.
Empat ketentuan hidup manusia telah ditetapkan oleh Allah SWT semenjak dia belum lahir ke dunia; rezekinya, ajal kematiannya, amalannya dan nasibnya sama ada dia akan menjadi seorang yang susah atau senang.
Amalan terakhir manusia adalah faktor penentu kepada nasibnya yang kekal abadi di akhirat. Boleh jadi dia sangat baik di sepanjang hayat, tetapi di saat terakhir dia melakukan perbuatan ahli neraka, iaitu maksiat lalu dia mati dan mendapat balasan neraka. Begitulah sebaliknya.

27 Mei 2009

Amalan Menuju Syurga

Dari Muaz bin Jabal r.a, berkata :
" Khabarkan kepadaku suatu amalan yang membolehkan aku masuk ke dalam syurga dan menjauhkan aku dari neraka. "

Jawab Nabi SAW :
" Sebenarnya engkau telah bertanya suatu pekara yang besar, dan sesungguhnya amat mudah sekali bagi sesiapa yang dimudahkan oleh Allah Ta'ala, iaitu : Hendaklah engkau menyembah Allah dan tidak menyekutukanNya dengan suatu yang lain. Engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa sebulan Ramadhan dan mengerjakan haji ke Baitullah. "

Kemudian Nabi bersabda lagi :
" Mahukah engkau aku khabarkan pokok amalan, tiangnya dan kemuncaknya? "

Aku menjawab :
" Mahu, ya Rasulullah . "

Sabda baginda :
" Pokok amalan ialah Islam, tiangnya ialah sembahyang dan kemuncaknya ialah jihad. "

Kemudian Nabi bersabda lagi :
" Mahukah engkau aku khabarkan kunci kepada semua pekara ini ? "

Aku menjawab :
" Mahu, ya Rasulullah. "
Lalu baginda memegang lidahnya seraya berkata :
" Awas, jaga ini baik-baik. "

Aku bertanya :
" Ya Rasulullah, adakah kami akan dituntut kerana berkata dengannya ? "

Baginda lalu menjawab :
" Dan tidak akan dicampakkan manusia ke atas muka mereka atau batang hidung mereka ke dalam neraka, melainkan hasil tutur bicara mereka. "

2 Mac 2009

Apa itu ISLAM? Peringatan untuk saudara baharu seperti aku. Yang lama mungkin tau dah. Kalau lupa, mari baca sama-sama kami.

Dari Umar Ibnul-Khattab r.a, katanya : Sedang kami duduk di dalam majlis bersama Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di dalam majlis itu seorang laki-laki yang berpakaian serba putih, berambut terlalu hitam, tiada kesan bahawa ia seorang musafir, dan tiada antara kami yang mengenalinya, lalu duduk ia bersama Rasulullah SAW, dan ditemukan kedua lututnya dengan kedua lutut Rasulullah SAW serta diletakkan kedua tapak tangannya ke atas kedua peha Rasulullah SAW, lalu berkata :

Sipemuda : Khabarkan aku tentang Islam ?

Rasulullah : Islam, iaitu hendaklah mengucap syahadat - bahawa tiada Tuhan melainkan Allah Ta'ala dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah, dan hendaklah bersembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan menunaikan haji ke Baitullah apabila berdaya ke sana.

Sipemuda : Benar katamu.

( Berkata Umar r.a : Kami merasa hairan kepada tingkah laku sipemuda itu, dia yang bertanya dan dia pula yang mengiyakannya )

Sipemuda : Khabarkanlah kepada ku tentang Iman ?

Rasulullah : Hendaklah engkau beriman kepada Allah, Malaikat-MalaikatNya, Kitab-KitabNya, Rasul-RasulNya, Hari Akhirat dan hendaklah engkau beriman kepada takdir Allah yang baikNya atau yang burukNya.

Sipemuda : Benar katamu ! Khabarkanlah kepadaku tentang Ihsan ?

Rasulullah : Hendaklah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatNya sesungguhnya Allah sentiasa dapat melihat engkau.

Sipemuda : Khabarkan padaku tentang hari kiamat ?

Rasulullah : Tiadalah orang yang ditanya itu lebih mengetahui dari orang yang bertanya.

Sipemuda : Khabarkan padaku tentang tanda-tandanya ?

Rasulullah : Apabila hamba perempuan melahirkan tuannya sendiri ; Apabila engkau melihat orang yang berkaki ayam, tidak berpakaian, pengembala kambing ( berbangga ) membina bangunan yang tinggi-tinggi.

( Kemudian beredar keluar sipemuda itu dari majlis tersebut )

Rasulullah : Tahukan anda wahai Umar siapakah pemuda yang menyoal ku tadi ?

Umar Al-Khattab : Allah dan RasulNya jua yang mengetahui.

Rasulullah : Itulah Jibril a.s yang telah mendatangi aku untuk mengajarkan kamu pelajaran agama kamu (yakni Islam).


*******
Catatan:
********
Hadis empat puluh adalah koleksi hadis-hadis yang disusun oleh Imam Nawawi di dalam kitab karangannya yang bernama
Matan Arba'in. Terdapat sebanyak empat puluh dua buah hadis sabda junjungan Nabi Muhammad SAW yang membicarakan mengenai akidah dan tauhid di dalam Islam.