Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

13 April 2010

BAHAYA MENGUMPAT!!!


Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
[Al-Hujraat: 11-12]
Allah SWT melarang mukminin dan mukminat agar mereka jangan terlalu banyak buruk sangka terhadap mukminin dan mukminat yang lain. Lebih-lebih lagi kalau mereka itu orang-orang yang dikenal sebagai orang-orang yang baik, jujur lagi amanah. Adapun terhadap orang yang suka melakukan perkara buruk secara terang terangan, seperti masuk night club, disco dan lain-lain, maka berburuk sangka kepada mereka tidaklah di haramkan.
Sa'id Bin Al Musayyab RA berkata: Sebahagian saudaraku daripada kalangan sahabat Rasulullah SAW pernah menulis surat kepadaku:
"Hendaklah engkau letakkanlah segala urusan saudaramu pada tempat yang sebaik-baiknya selagi dia tidak mendatangkan kepadamu sesuatu yang boleh mendorong kamu berburuk sangka kepadanya, dan janganlah kamu berburuk sangka pada setiap kata yang keluar dari (mulut) muslim lain sedangkan engkau kenali dia orang yang baik, dan barangsiapa yang mendedahkan dirinya kepada tohmahan maka janganlah dia mencela kecuali kepada dirinya sendiri". (Di keluarkan oleh Al Baihaqy dalam Sya'bul Iman)
Dan, janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain. Allah melarang mukmin mencari-cari rahsia orang lain, lalu didedahkan keburukan hasil intipan itu. Kita semestinya berpuas hati dengan tindak tanduk zahir dari seseorang. Lalu kita berikan pujian dan sanjungan sewajarnya terhadapnya ataupun sebaliknya mencela seseorang hendaklah berdasarkan amalan zahirnya umpamanya ia seorang yang melakukan maksiat secara terang terangan seperti pemabuk atau penjudi, bukan atas dasar apa yang tersembunyi. Oleh sebab inilah kita dilarang keras memasuki rumah atau bilik orang lain tanpa izin dan kebenaran penghuninya.
Rasulullah SAW. bersabda: "Ada tiga perkara yang mesti ada pada umatku: Thiyarah (beranggapan sesuatu boleh membawa sial), hasad (dengki) dan suu'uzzan (buruk sangka).
Seorang sahabat bertanya: Ya Rasulallah, bagaimanakah caranya agar ketiga-tiga perkara itu dapat kami hindarkan?
Lalu jawab baginda SAW.: Jika kamu ada perasaan dengki maka segeralah beristighfar (taubat) dan jika kamu berburuk sangka (pada seseorang) maka janganlah kamu selidiki atau mengintip intip dan jika kamu thiyarah maka hendaklah kamu teruskan (pekerjaan itu). (HR Thabarany dari Harits Bin Nu'man)
Dan janganlah sebahagian kamu menggunjing (mengumpat) sebahagian yang lain. Maksudnya: Jangan hendaknya kita menyebut keburukan orang lain yang dia benci jika mengetahuinya. Larangan "menyebut" disini bukan hanya terbatas pada ucapan lisan tetapi juga termasuk dalam bentuk isyarat. Dan maksud "yang dia benci" disini mencakupi tentang agamanya, dunianya, akhlaknya, rupanya, hartanya, anaknya, isterinya, suaminya, khadamnya, pakaiannya, perhiasannya dan lain-lain.
Menurut Al Hasan: Mengumpat ada tiga bentuk, iaitu:

1. Al Ghibah: Menyehut ke’aiban atau kecacatan seseorang yang ‘aib itu memang ada pada diri orang tersebut.
2. Al Buhtan: Menyebut ke’aiban atau kekurangan seseorang yang ‘aib itu tidak ada pada orang itu (hanya direka-reka saja).
3. Al Ifk: Menyebut ke’aiban atau keburukan seseorang hasil daripada apa yang didengarnya melalui mulut orang lain.
Para ulama sependapat bahawa kesemua jenis mengumpat diatas adalah dosa besar (Al Kabaair). Selain mereka wajib taubat kepada Allah, mereka juga wajib memohon maaf kepada orang yang diumpat.
Sukakah salah seorang diantara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kami merasa jijik kepadanya.
Ayat ini mengandungi amaran keras dari Allah SWT kepada orang-orang yang suka mengumpat iaitu sebagaimana kamu sangat benci dan jijik memakan daging saudaramu yang sudah mati (mayat), hendaknya demikian jugalah darjat kebencianmu daripada mengumpatnya semasa hidupnya. Dengan kata lain sebagaimana kamu jijik memakan daging manusia yang sudah mati menurut naluri (fitrah) maka begitulah hendaknya kamu benci terhadap mengumpat menurut syar'i (agama).
-diariseorangsyabab-