Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [Surah Ali Imraan: Ayat19]

Rakan Iban Muslim

27 April 2008

Warkah buat Adam

Adam.....

Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu. Sesungguhnya aku adalah Hawa, temanmu yang kau pinta semasa kesunyian di syurga dahulu.

Wahai Adamku....

Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok. Jadi tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa inginkan bimbingan darimu, sentiasa mau terpesong dari landasan, kerana aku buruan syaitan.

Adam... Maha suci Allah yang mentakdirkan kaumku lebih ramai bilangannya dari kaummu di akhir zaman, itulah sebenarnya ketelitian Allah dalam urusanNya. Jika bilangan kaummu mengatasai kaumku nescaya merahlah dunia kerana darah manusia, kacau-bilaulah suasana, Adam sama Adam bermusuhan kerana Hawa.

Buktinya cukup nyata dari peristiwa Habil dan Qabil sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya. Pun jika begitu maka tidak selaraslah undang-undang Allah yang mengharuskan Adam beristeri lebih dari satu tapi tidak lebih dari empat pada satu waktu.

Adam...

Bukan kerana ramainya isterimu yang membimbangkan aku. Bukan kerana sedikitnya bilanganmu yang merunsingkan aku. Tapi... aku risau, gundah dan gulana menyaksikan tingkahmu.

Aku sejak dulu lagi sudah tahu bahawa aku mesti tunduk ketika menjadi isterimu. Namun... Terasa berat pula untukku meyatakan isi perkara.

Adam...

Aku tahu bahawa dalam Al-Quran ada ayat yang menyatakan kaum lelaki adalah menguasai terhadap kaum wanita. Kau diberi amanah untuk mendidik aku, kau diberi tanggungjawab untuk menjaga aku, memerhati dan mengawasi aku agar sentiasa didalam redha Tuhanku dan Tuhanmu.

Tapi Adam, nyata dan rata-rata apa yang sudah terjadi pada kaumku kini, aku dan kaumku telah ramai menderhakaimu. Ramai yang telah menyimpang dari jalan yang ditetapkan Asalnya Allah mengkehendaki aku tinggal tetap dirumah. Di jalan-jalan, di pasar-pasar, di bandar-bandar bukan tempatku. Jika terpaksa aku keluar dari rumah seluruh tubuhku mesti ditutup dari hujung kaki sampai hujung rambut.

Tapi.. realitinya kini, Hawa telah lebih dari sepatutnya.

Adam...

Mengapa kau biarkan aku begini? Aku jadi ibu, aku jadi guru, itu sudah tentu katamu. Aku ibu dan guru kepada anak-anakmu. Tapi sekarang diwaktu yang sama, aku ke muka menguruskan hal negara, aku ke hutan memikul senjata. Padahal, kau duduk saja. Ada diantara kau yang menganggur tiada kerja. Kau perhatikan saja aku panjat tangga di pejabat bomba, kainku tinggi menyingsing peha mengamankan negara. Apakah kau sekarang tidak lagi seperti dulu? Apakah sudah hilang kasih sucimu terhadapku?

Adam...

Marahkah kau jika kukatakan andainya Hawa terpesong, maka Adam yang patut tanggung!

Kenapa? Mengapa begitu ADAM? Ya! Ramai orang berkata jika anak jahat emak-bapak tak pandai didik, jika murid bodoh, guru yang tidak pandai mengajar! Adam kau selalu berkata, Hawa memang degil, tak mahu dengar kata, tak mudah makan nasihat, kepala batu, pada hematku yang dhaif ini

Adam,

Seharusnya kau tanya dirimu, apakah didikanmu terhadapku sama seperti didikan Nabi Muhammad SAW terhadap isteri-isterinya?

Adakah Adam melayani Hawa sama seperti psikologi Muhammad terhadap mereka? Adakah akhlak Adam-Adam boleh dijadikan contoh terhadap kaum Hawa?

Adam...

Kau sebenarnya imam dan aku adalah makmummu, aku adalah pengikut- pengikutmu kerana kau adalah ketua. Jika kau benar, maka benarlah aku. Jika kau lalai, lalailah aku. Kau punya kelebihan akal manakala aku kelebihan nafsu.

Akalmu sembilan, nafsumu satu. Aku... akalku satu nafsuku beribu! Dari itu Adam.... pimpinlah tanganku, kerana aku sering lupa, lalai dan alpa, sering aku tergelincir ditolak sorong oleh nafsu dan kuncu-kuncunya.

Bimbinglah daku untuk menyelami kalimah Allah, perdengarkanlah daku kalimah syahdu dari Tuhanmu agar menerangi hidupku. Tiuplah ruh jihad ke dalam dadaku agar aku menjadi mujahidah kekasih Allah.

Adam...

Andainya kau masih lalai dan alpa dengan karenahmu sendiri, masih segan mengikut langkah para sahabat, masih gentar mencegah mungkar, maka kita tunggu dan lihatlah, dunia ini akan hancur bila kaumku yang akan memerintah. Malulah engkau Adam, malulah engkau pada dirimu sendiri dan pada Tuhanmu yang engkau agungkan itu...

Maafkan aku sekali lagi Adam... seandainya warkah yang kulayangkan ini menimbulkan amarah di dadamu.... jauh sekali niatku untuk membuat kau keliru apatah lagi menjadi buntu.....

Tetapi... Percayalah!!!.... bukan emas kucari... bukan berlian yg kupinta.... tetapi... hanyalah hati yang tulus ikhlas dirimu Adam...

Dengarlahlah... keluhan hatiku buat dirimu.....

ikhlas dari Hawa

Menuju Cahaya Abadi

Tanggal 24 Julai 2002 bersamaan 13 Jamadilawal 1423H, di awal pagi Rabu itu, sehari setelah menerima segulung ijazah di Majlis Konvokesyen UTM di Skudai, satu lagi sejarah tertempa pada diri ini. Seawal pagi itu aku ajak dua orang sahabat (Muhammad Yusob bin Azizan dan Kamarulzaman bin Ahmad Bukhari) menyusuri Majlis Agama Islam Johor(MAIJ). Kami rentasi jalan-jalan sibuk dari Skudai hinggalah ke Johor Bahru hanya semata-mata mencari kebenaran yang abadi. Ingin disingkap kembali saat hati ini tergerak untuk tujuan itu, dua sahabat itu seakan-akan tidak percaya akan niat nekad aku itu. Disuruh fikirkan kali kedua, namun hati ini kuat mengatakan inilah keputusan yang muktamad.

Sampai sahaja di MAIJ, tanpa lengah terus ditanya di mana tempat untuk masuk Islam (pada masa itu tak tahu lagi istilah yang betul dan sesuai, tapi tahu...masuk ISLAM,bukannya masuk MELAYU). Di Bahagian Dakwah, beberapa orang ustaz dan ustazah sedang khusyuk menjalankan tanggungjawab masing-masing. Aku bagi ucap selamat pagi, tanpa lengah terus dinyatakan hasyat untuk menukar agama. Ustaz meminta kepastian berkaitan kemuktamadan keputusan aku. YA. Tanpa ragu. Diucap dua kalimah mulia..."Asyhadu AllaIllaHaIllallah, wa AsyhaduannaMuhammadarasullullah". Dengan 2 sahabat tadi menjadi saksi akan ucapan keimanan itu tadi, alhamdulillah keislaman telah dinyatakan. Doa kesyukuran dibacakan oleh Ustaz (maaf, terlupa nama) tadi sambil ditadahkan tangan ke langit untuk diaminkan doa tersebut. Sebuah beg berisi Iqra',Sejadah, kitab-kitab berkaitan Akidah, Akhlak, Munakahat dsb., dan Kain pelikat dihulurkan sebagai salam permulaan. Setelah beberapa helaian borang diisi, sijil pengIslaman diserahkan sebagai bukti hitam putih duniawi yang mengesahkan agama baru aku adalah Islam. Sebelum beredar, beberapa pesanan dan nasihat ustaz berikan. Antaranya, berpesan pada dua sahabat tadi agar memberi bimbingan asas kepada aku, menghadiri kelas agama yang dianjurkan oleh MAIJ mengikut jadual yang ditetapkan.

Kami bertiga bergegas balik ke rumah sewa pada masa itu dengan dada yang berdegup kencang. Apakah aku dapat menjadi seorang Muslim yang Muslim? Bagaimana Mak dan Aba? Keluarga? Kawan-kawan? Seribu satu soalan berlegar-legar di fikiran. Mampukah aku hadapi segalanya? Ikhlaskan aku? Uhhh... Gementar juga. Sampai di rumah waktu zohor hampir tiba. Bagaimana aku nak solat, caranya, bacaannya, syaratnya? Begitu banyak aku perlu pelajari. Seorang sahabat mengajak solat berjemaah bersama. Emm...panik juga dibuatnya. Malu. Sebabnya tak tahu. Dia faham, sekadar ikut gerakan solat tanpa bacaan. Pertama kali mengadap Allah, hati seakan-akan luruh, sebak dada, air mata seakan-akan terbit. Ini bukan mimpi. Hari kedua tiada bezanya, namun hati ini meronta-ronta untuk mendalami Islam itu. Ku buka satu persatu kitab-kitab yang ada dalam buku yang diberikan oleh ustaz tadi. Sahabat tadi terangkan secara seimbas lalu berkaitan solat, mandi wajib, wuduk, dan beberapa lagi perkara fardhu ain. Aku minta sahabat tadi rumikan tulisan jawi berkaitan bacaan solat untuk dihafal bagi memudahkan solat. Alhamdulillah, mampu dihafal semuanya. Jumaat pertama, seingat aku, aku ikut sahabat tadi solat jumaat di masjid di Taman Universiti (masjid Lama berdekatan dengan SK Tmn U). Pelbagai dugaan dan cabaranyang terpaksa aku hadapi di peringkat awal ini, namun kucekalkan hati untuk berpaut kukuh pada tauhid yang hakiki ini.

Itulah di antara bibit-bibit awal ku kenal Islam. InsyaAllah akan dicetuskan lagi hari-hari yang seterusnya hidupku sebagai seorang Islam. InsyaAllah.